KUALA LUMPUR – Rakyat Malaysia, nampaknya mempunyai sikap sambil lewa sahaja berhubung sumber bekalan makanan. Apa yang penting adalah makanan yang terhidang di hadapan mereka tanpa mempedulikan langsung mengenai aktiviti dan golongan yang bekerja keras demi memungkinkan bahan asas makanan sentiasa tersedia.
Makanan berasal daripada sumber pertanian yang diusahakan manusia, justeru perayaan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) yang berlangsung hingga 1 Oktober ini di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di Serdang, menyediakan saluran yang lengkap untuk menghargai sumbangan semua pihak yang terlibat dalam sektor pertanian, sekali gus mengetahui sumbangan mereka yang tidak ternilai.
Selain peladang, penternak dan nelayan, edisi ke-42 sambutan HPPNK anjuran Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) itu akan menyaksikan penyertaan menyeluruh semua pihak yang berkaitan dengan industri makanan – pengusaha restoran, pengilang makanan, dan firma-firma makanan berkaitan bioteknologi.
Acara berkenaan juga akan mempamerkan pelbagai inovasi dalam pengeluaran makanan – di darat, laut malah di kilang-kilang.




Destinasi makanan
Bertemakan “Makanan Kita, Masa Depan Kita”, Menteri MOA, Datuk Sri Ahmad Shabery Cheek berkata bagi memeriahkan lagi sambutan tahun ini, kementerian turut menganjurkan program baharu iaitu Malaysia Food Festival 2017(MFF 2017) yang mengetengahkan pelbagai makanan, masakan, teknologi makanan dan seni hidangan kepada orang ramai.
“MFF 2017 yang diadakan buat julung kalinya itu bakal menampilkan penyediaan pelbagai aneka makanan seperti hida-ngan hasil termahal dari sungai, masakan kampung, hidangan laut lambak dan makanan ala-Barat.
“Program terbaharu ini diharap dapat meletakkan Malaysia sebagai destinasi utama bagi penggemar makanan di seluruh dunia,” kata Shabery.
Sambutan HPPNK 2017 terdiri daripada beberapa komponen utama termasuk Pertandingan Hari Peladang dan Pameran Hasil Pertanian yang bakal menyaksikan 14 anugerah diberikan bagi mengiktiraf pencapaian dan kejayaan tokoh-tokoh pertanian yang diharapkan dapat mencetus inspirasi kepada orang ramai.
Komponen-komponen lain termasuk Agro Trip, Empayar Makanan, Produk Perikanan dan Hasil Laut Malaysia, Agrobazaar, Mekanisme Agromakanan dan Livestock Malaysia.
Sumbangan sektor pertanian tidak sedikit terhadap industri pelancongan negara, justeru komponen Agro Trip di HPPNK akan mengetengahkan dan mempromosi pusat-pusat pelancongan berasaskan pertanian sekali gus memberi peluang kepada para pengunjung untuk merasai pengalaman melakukan aktiviti pertanian.
Pelbagai demostrasi menarik
Selain itu, komponen Empayar Makanan yang bakal disertai kira-kira 600 buah gerai dan kendera saji (food truck) akan menyediakan kira-kira 400 jenis hidangan dari seluruh negara. Hasil pertanian segar dari ladang dijual pada harga berpatutan termasuk sayuran, buah-buahan dan bunga-bungaan.
Para pengunjung terutamanya penggemar makanan laut juga berpeluang melihat demonstrasi masakan tradisional dan pameran inovasi serta jualan hasil laut bermutu tinggi seperti lemang sushi, kuro prawn, churros lekor, sate tuna dan snow fish di Produk Perikanan dan Hasil Laut Malaysia.
Lebih menarik, kanak-kanak pastinya akan terhibur di pameran haiwan hidup pelbagai baka serta petting zoo yang disediakan di bahagian Livestock Malaysia. Mereka juga boleh mempelajari cara-cara menjaga haiwan peliharaan.
Tidak dilupakan, para peminat teknologi juga mempunyai ruang khusus iaitu di komponen Mekanisme Agro-makanan.
Mereka akan berpeluang meninjau pameran, melihat pelbagai inovasi peralatan pertanian, demonstrasi jentera, perkakasan dan dron. Menyedari hakikat bahawa sebarang aktiviti jual beli dapat dilakukan menerusi Internet, komponen Agrobazaar turut diwujudkan bagi mempromosi portal beli-belah melalui capaian Agrobazaar.com
Pupuk minat belia
Sambutan HPPNK 2017 tahun ini akan lebih bermakna dengan penglibatan warga belia berikutan penganjuran program Agroyouth Camp yang bertujuan memberi kesedaran mengenai kepentingan industri agromakanan selain menyediakan peluang pekerjaan kepada yang masih belum be-kerja.
Timbalan Pengurus Besar Kanan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS), Dr. Hamid Sulaiman selaku wakil rakan strategik bagi HPPNK 2017 berkata Agroyouth Camp bakal menghimpunkan seramai 500 belia termasuk peladang-peladang muda untuk turut menjayakan acara tahun ini.
“Mereka akan berkhemah di MAEPS selama tiga hari dan sepanjang tempoh berkenaan, peserta akan menjalankan kerja-kerja sukarelawan di lokasi berkenaan selain mengikuti sesi ceramah dan program santai bersama Menteri Pertanian dan Asas Tani bagi memupuk minat terhadap bidang agromakanan,” kata Hamid.
Selain itu, golongan belia yang masih mencari pekerjaan boleh berkunjung ke Agro Job Fair yang akan menawarkan sebanyak 2,000 peluang pekerjaan di 40 syarikat dalam pelbagai industri berkaitan. – Bernama