Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    HR-DA-DAY corak masa depan sumber manusia

    Oleh Nurdiyanah R. –

    Sebagai salah satu platform bagi mendapatkan maklumat dan nasihat yang relevan dengan pengurusan dan pentadbiran sumber manusia perkhidmatan awam, Bahagian Pentadbiran dan Perkembangan Sumber Manusia, Jabatan Pentadbiran dan Perkhidmatan-perkhidmatan, Kementerian Pendidikan baru-baru ini telah mengadakan Hari Sumber Manusia (HR-DA-DAY).

    Ia dianjurkan oleh Jabatan Pentadbiran dan Perkhidmatan-perkhidmatan warga Kementerian Pendidikan khususnya bagi tenaga bukan pengajar di Dewan Utama, Jabatan Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pendidikan.

    Menariknya, majlis pelancaran bagi acara yang hanya berlangsung sehari itu turut menyediakan ruangan khas yang menempatkan petak-petak pameran merangkumi sesi klinik dan jerayawara, di mana acara tersebut telah menarik perhatian Pemangku Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras), Kementerian Pendidikan, Awang Aliuddin bin Haji Abdul Rahman yang sekali gus mengadakan lawatan ke petak-petak pameran tersebut.

    Menggali manfaat inisiatif HR-DA-DAY

    Justeru itu, jika direnungkan bersama ucapan alu-aluan yang telah disampaikan oleh Pemangku Pengarah Pentadbiran dan Perkhidmatan-perkhidmatan, Kementerian Pendidikan, Pengiran Mohammad Jeffrynul Hafli bin Pengiran Haji Ali selaku pengerusi majlis tersebut, beliau cukup menekankan betapa signifikan key deliverables Jabatan Pentadbiran dan Perkhidmatan-perkhidmatan bagi mendukung misi dan visi Kementerian Pendidikan di dalam hal ehwal pentadbiran dan perkembangan sumber manusia.

    Ia mampu untuk memberikan khidmat nasihat dan konsultansi di dalam perangkaan kompetensi teknikal, career development pathway dan juga perangkaan kursus serta latihan ke arah kecemerlangan sumber manusia di Kementerian Pendidikan.

    Awang Aliuddin semasa mengadakan lawatan ke salah sebuah petak pameran yang merangkumi sesi klinik dan jerayawara di Dewan Utama, Jabatan Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pendidikan. – Gambar oleh Nurdiyanah R.
    Pengiran Mohammad Jeffrynul semasa menyampaikan ucapan alu-aluan pada acara tersebut. – Gambar oleh Nurdiyanah R.
    Antara yang hadir bagi merebut peluang yang ditawarkan dalam acara tersebut. – Gambar oleh Nurdiyanah R.
    Gambar oleh Nurdiyanah R.

    Dalam sudut pandang statistik pula ada dikongsikan oleh beliau sendiri di mana, setakat ini, pihak Kementerian Pendidikan mempunyai 712 pegawai dan 818 kakitangan yang bertugas di Kementerian Pendidikan dan jabatan-jabatan di bawahnya, manakala seramai 1,648 orang kakitangan bantu ditempatkan di sekolah-sekolah kawalan Kementerian Pendidikan.

    Jumlah atau perkongsian statistik itu bukan setakat angka semata-mata, bahkan itulah jumlah penggerak kakitangan yang diperlukan bagi merealisasikan matlamat yang disebutkan sebelumnya iaitu ke arah merealisasikan kecemerlangan sumber manusia.

    Ia bukan setakat di Kementerian Pendidikan, bahkan secara tidak langsung untuk melahirkan warga yang cemerlang dalam kalangan masyarakat di bumi watan ini.

    Waima demikian, dengan mengambil kira skop dan fungsi serta peranan jabatan bersama pihak-pihak berkepentingan yang meliputi bukan sahaja ketua-ketua jabatan, bahagian dan pusat di ibu pejabat Kementerian Pendidikan, malahan juga pemimpin-pemimpin sekolah rendah, menengah dan pusat tingkatan enam.

    Acara HR-DA-DAY yang diadakan itu adalah salah satu inisiatif pihak jabatan sebagai wadah bagi memudahkan warga Kementerian Pendidikan untuk me-ngutarakan serta mendapatkan khidmat nasihat konsultansi mengenai sebarang isu ataupun permasalahan berkaitan pentadbiran dan perkembangan sumber manusia yang dihadapi dasawarsa ini.

    Lantaran itu, acara yang diadakan itu bukanlah setakat untuk menarik perhatian orang ramai seolah-olah ia adalah ‘pameran santai’ semata-mata, bahkan maklum balas daripada pengunjung pameran tersebut sebetulnya akan digunakan bagi mengenal pasti isu semasa, keperluan sumber manusia, aduan-aduan yang seterusnya akan diaplikasikan bagi melaksanakan inisiatif-inisiatif penambahbaikan ke arah memberikan perkhidmatan sumber manusia yang berkualiti dan berdaya saing.

    Program kursus dan latihan kukuhkan kecekapan sumber manusia

    Rentetan itu, acara tersebut turut memperkenalkan program kursus dan latihan yang diberikan kepada kakitangan bantu dan pegawai-pegawai di Kementerian Pendidikan.

    Kursus dan latihan yang dibahagikan kepada signature program, kursus modular, program tarbiyah rohani dan program kesedaran itu pada awalnya mula diperkenalkan bagi pegawai-pegawai di Kementerian Pendidikan pada Mei 2020.

    Seterusnya ia dilaratkan kepada kakitangan bantu termasuk yang bertugas di sekolah bukan sahaja untuk memperkukuhkan tahap kompetensi yang sedia ada malah bagi memupuk nilai-nilai murni dan meningkatkan integriti pegawai dan kakitangan Kementerian Pendidikan ke arah kecemerlangan.

    Platform berharga bagi perantis i-Ready

    Berkesempatan ditemui penulis, salah seorang pengunjung terdiri daripada perantis Program i-Ready (i-RDY) di bawah Pusat Teknologi Pendidikan, Kementerian Pendidikan, Dayang Nur Haziqah Bazilah binti Haji Suhaili, berkata acara tersebut sememangnya sebuah platform untuk mendapatkan maklumat dan nasihat yang berhubungkait dengan pengurusan dan pentadbiran sumber manusia perkhidmatan awam.

    Hal ini begitu penting diterokai lebih-lebih lagi pada masa ini beliau bersama rakan-rakan seperjuangannya masih mencari-cari pekerjaan tetap dari semasa ke semasa.

    “Selain pengetahuan dan kemahiran asas yang diperolehi dari hasil pembelajaran pada sebelumnya, pengetahuan am sebegini juga harus diketahui orang ramai tentang kakitangan bawah kementerian ini kerana ia secara langsung mendidik diri kita untuk lebih bersikap berdisiplin dan produktif dari hari ke hari misalnya dari segi pemantapan pengetahuan khusus dari segi sistem tatatertib yang ditekankan oleh pihak kementerian,” ujarnya.

    Di samping itu juga, Jabatan Pentadbiran dan Perkhidmatan-perkhidmatan mengambil peluang ini untuk memberigakan program kursus dan latihan yang ditawarkan di bawah anjuran jabatan khusus bagi pegawai dan kakitangan bukan tenaga pengajar di Kementerian Pendidikan.

    Untuk memeriahkan acara, pengunjung juga dipelawa untuk menyertai pelbagai aktiviti kuiz yang disediakan dan berpeluang untuk memenangi hadiah.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda