Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    HR Retreat jadi platform bina rangkaian

    Oleh Syahmi Hassan –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 8 OGOS – Seramai 40 profesional sumber tenaga manusia (HR) dari organisasi kerajaan dan swasta telah menghadiri HR Retreat anjuran Institut Kepimpinan dan Kewangan Islam Brunei (BILIF), hari ini.

    Para peserta adalah dari Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Darussalam Enterprise (DARe), Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB), Kumpulan Bank Baiduri, Bank Standard Chartered, dan Datastream Digital Sdn Bhd.

    Objektif acara tersebut antara lainnya adalah untuk terus memupuk hubungan baik antara BILIF dengan pihak berkepentingan serta pelanggan-pelanggan BILIF dan seterusnya menjadi sebuah platform bagi para peserta untuk membina rangkaian, bertukar-tukar pendapat sekali gus belajar antara satu sama lain.

    Acara tersebut juga bertujuan untuk mengulas isu-isu dan trend semasa berkaitan dengan tenaga manusia serta strategi pemulihan dalam pembangunan modal insan.

    Ketua Pegawai Eksekutif BILIF, Hajah Sufinah binti Haji Sahat dalam ucapan alu-aluannya antara lain menyentuh mengenai fungsi dan peranan ahli-ahli profesional HR sebagai rakan strategik bagi jabatan-jabatan sesebuah organisasi dalam mendorong pembangunan modal insan dan kemahiran diri seluruh pekerja.

    Selain itu, beliau juga menekankan kepentingan memupuk budaya dan membina strategi yang menggalakkan pekerja untuk meningkatkan secara proaktif kemahiran diri dan bakat masing-masing. Pendekatan itu bukan sahaja akan meningkatkan pengekalan pekerja bahkan juga dapat memastikan kemampanan dan kejayaan jangka panjang sesebuah organisasi.

    Acara telah diteruskan dengan beberapa sesi pembentangan termasuk perkongsian bertajuk People, Potential, Progress yang telah disampaikan oleh Perunding Kanan Salve Asia, Dr Logama Doraisamy, dan Learning & Development Programmes 2024 yang disampaikan oleh pihak BILIF.

    Pada sebelah petang, acara disambung dengan bengkel bertajuk Human Competency and Capacity Development yang dikendalikan oleh Dr Logama.

    Gambar ramai para peserta yang menyertai acara berkenaan. – Gambar serahan BILIF
    Hajah Sufinah semasa menyampaikan ucapannya kelmarin. – Gambar serahan BILIF

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda