Oleh Sim Y.H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 20 OGOS – Sumber manusia (HR) adalah terbukti sebagai salah satu pemboleh yang paling penting dalam mencapai matlamat Wawasan Brunei 2035.
Menerusi pelbagai fungsi kritikalnya, ia memainkan peranan mustahak dalam memastikan bahawa tenaga kerja kita memiliki kemahiran dan kompetensi untuk memenuhi keperluan sebuah ekonomi berasaskan ilmu pengetahuan.
Oleh itu, adalah tidak boleh dinafikan bahawa HR adalah berperanan penting dalam membina sebuah tenaga kerja berkualiti tinggi yang merupakan batu asas perkembangan mampan, kestabilan sosial dan kemakmuran ekonomi sesebuah negara.
Perkara itu dinyatakan oleh Setiausaha Tetap (Wawasan), Jabatan Perdana Menteri, Pengiran Hajah Siti Nirmala binti Pengiran Haji Mohammad dalam ucapan di INITIATE 2024: Human Capital Summit yang berlangsung di Empire Brunei, hari ini.
Beliau menyatakan bahawa menerusi usaha strategiknya, HR bukan sahaja menyokong keperluan segera sesebuah organisasi tetapi ia juga menyumbang kepada visi jangka panjang Negara Brunei Darussalam yang berkembang maju dan dinamik.
Di samping itu, HR juga berada di barisan hadapan pembangunan kepimpinan.
Pengiran Hajah Siti Nirmala menekankan bahawa HR memegang peranan utama dalam pembangunan kepimpinan yang berpotensi untuk mengenal pasti dan menilai bakal pemimpin, serta merancang program yang mengembangkan kemahiran dan tingkah laku praktikal yang penting bagi kepimpinan yang berkesan. Lebih dari itu, peranan HR dalam membentuk pemimpin masa depan adalah penting untuk memastikan kejayaan berterusan organisasi.
Terdahulu, Ketua Pegawai Operasi Progresif Sdn Bhd, Awang Mohammad Yazdi bin Yahya, dalam kata alu-aluannya menyatakan kepimpinan yang kukuh boleh memupuk budaya yang lebih mantap dalam organisasi mereka.
Kepimpinan yang kuat boleh memberikan impak yang signifikan kepada organisasi mereka di mana ia boleh mempengaruhi produktiviti, motivasi serta memperkasakan organisasi berkenaan.
Beliau mengongsikan sidang berkenaan yang membawa tema, Belajar untuk Memimpin, Memperkasakan Orang Lain, menekankan kepada idea dan perbincangan yang tertumpu kepada keupayaan kepimpinan dan bagaimana peranan HR dalam membangunkan pemimpin hari ini dan esok menjadi semakin mustahak.
Sidang kemuncak berkenaan telah dihadiri oleh profesional HR menonjol daripada pelbagai latar belakang serata industri daripada sektor swasta dan awam termasuk ahli akademik.
Perasmian sidang berkenaan menyaksikan penyampaian ucaptama bertajuk, Breaking the Mold: Bold Strategies and Empathetic Actions for Future Success yang disampaikan oleh Ketua Pembangunan Pasaran-Global, CIPD, May Leng Kwok, di mana beliau membentangkan mengenai strategi dan tindakan dalam pengurusan HR serta modal insan di dunia moden.
Sidang selama dua hari berkenaan mengetengahkan barisan seramai 20 penceramah dan sesi bengkel yang menjanjikan penyediaan pandangan yang berharga, memupuk hubungan yang bermakna serta melengkapkan para peserta dengan peralatan yang diperlukan untuk maju dalam landskap pembangunan modal insan yang pesat berubah di negara ini.