BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Jan –Dalam usaha memberikan peluang kepada pelajar membuat keputusan menentukan arah tuju kerjaya mereka kelak, HRD Services akan menganjurkan satu sesi Dialog Kerjaya di Empire Hotel & Country Club pada 2 Februari ini sebagai sebahagian daripada Pameran StudyGlobal.
Sesi dialog itu akan menampilkan penceramah utama dari universiti-universiti di Australia, Malaysia, Singapura dan United Kingdom yang dijemput untuk mengadakan pembentangan mengenai laluan kerjaya khusus—meliputi pelbagai kerjaya dan mengenalpasti beberapa bidang lebih penting yang mana Brunei memerlukan pakar.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan HRD Services, pada masa ini ekonomi Brunei menuju kepada kepelbagaian ekonomi, yang memerlukan tenaga kerja sepadan dengan keperluan signifikan pembangunan negara.
Sehubungan itu, ia juga menawarkan beberapa program pendidikan yang tidak ditawarkan dalam masa beberapa tahun lalu. Program-program ini sepadan dengan keperluan industri dan perniagaan yang menumpukan lebih kepada bidang pelbagai disiplin dan digabungkan dengan sains, teknologi dan juga sains sosial.
Sesi dialog kerjaya ini akan memberikan gagasan ke dalam program dan kerjaya yang mungkin tidak dipertimbangkan pelajar kerana kebanyakan memilih kerjaya sama ada daripada cadangan keluarga atau rakan-rakan berbanding memilih laluan kerjaya yang mencerminkan kekuatan akademik mereka.
Dialog kerjaya ini juga meliputi proses permohonan dan ciri-ciri tambahan universiti yang mereka kehendaki selain kelayakan akademik. Ia juga akan menyentuh mengenai kenyataan peribadi yang menjadi kriteria utama bagi ranking tinggi digunakan oleh universiti untuk memilih calon berjaya.
Antara perkara yang akan disentuh pada dialog itu termasuklah perubatan, sains kesihatan gunaan, arkitek, pengkhususan bisnis, Trends in Engineering, Built Environment, logistik dan pengurusan rangkaian bekalan, undang-undang, pensurveian, pengurusan hartanah dan maritim.