Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    HRW kecam pertemuan Australia, junta Myanmar

    SYDNEY, 7 APRIL – Pemerhati Hak Asasi Manusia (HRW) hari ini mengecam pertemuan antara duta Australia ke Myanmar dan ketua junta tentera, berkata bahawa ia ‘memberikan kebolehpercayaan’ kepada sebuah rejim yang dituduh melakukan jenayah perang.

    Sejak rampasan tentera menyingkirkan pentadbiran Aung San Suu Kyi pada tahun lalu, Myanmar semakin dipinggirkan di peringkat antarabangsa, dengan kerajaan-kerajaan luar negara menggesa penamatan kepada tindakan-tindakan tegas berdarah terhadap bantahan demokrasi beramai-ramai.

    Duta Australia yang akan menamatkan perkhidmatannya, Andrea Faulkner bertemu dengan pemimpin junta Min Aung Hlaing di Naypyidaw kelmarin, dengan saluran media milik kerajaan New Light of Myanmar melaporkan bahawa kedua-dua mereka membincangkan ‘peningkatan kerjasama dalam pelbagai sektor.’

    Duta berkenaan telah diiringi oleh atase pertahanan Australia ke Myanmar, Kolonel Tony Egan, menurut satu kenyataan oleh pejabat Min Aung Hlaing.

    Katrina Cooper dari jabatan hal ehwal luar Australia menyatakan bahawa duta tersebut telah menggunakan peluang pertemuan itu untuk mengulang seruan bagi Myanmar menghentikan keganasan dan membebaskan tahanan-tahanan.

    “Kerajaan Australia tidak menganggap pertemuan itu mengesahkan rejim berkenaan,” Cooper memberitahu satu jawatankuasa Senat di Canberra.

    “Pertemuan itu bukan sahaja sangat tidak dapat diterima, malah melemahkan usaha-usaha oleh kerajaan lain untuk mengasingkan pemerintah tentera yang terbabit dalam penganiayaan serius,” kata penyelidik Myanmar HRW, Manny Maung.

    “Dengan mengambil gambar bersama dan menerima hadiah-hadiah, Australia memberikan kebolehpercayaan kepada junta tentera yang dituduh melakukan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan ke atas penduduknya sendiri,” katanya. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda