Saturday, May 10, 2025
24.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Huawei buka kilang 5G di Perancis

    PARIS, 28 FEB – Syarikat gergasi telekom China, Huawei berkata semalam bahawa ia akan memulakan pengeluaran peralatan radio untuk rangkaian 5G generasi akan datang di Perancis, kilang pertama sedemikian di luar China.

    Huawei, yang telah terbabit dalam perang perniagaan di antara Beijing dan Washington, telah menumpu pada Eropah tatkala ia cuba mengimbangi kerugian perniagaan di Amerika Syarikat.

    Kilang bernilai 200 juta euro di Perancis akan menggaji 500 orang dan mengeluarkan peralatan untuk pasaran Eropah, beritahu pengerusi Huawei, Liang Hua pada sidang akhbar di Paris.

    “Tapak kilang itu akan memulakan pengeluaran peralatan radio dan seterusnya memperluas ke produk lain pada masa depan, bergantung pada keperluan pasaran Eropah,” kata Liang.

    Beliau tidak berkata tempat terletaknya lokasi kilang, yang akan menghasilkan peralatan bernilai satu bilion euro setahun, atau bila ia akan memulakan operasi.

    Liang berkata syarikat itu sedang berbincang dengan kerajaan Perancis dan pihak berkuasa tempatan mengenai projek itu.

    5G, atau rangkaian generasi kelima, menawarkan kelajuan komunikasi selular yang lebih tinggi berbanding rangkaian 4G yang digunakan lebih meluas sekarang, yang mungkin membuka pelbagai aplikasi baharu.

    Amerika Syarikat telah mendesak sekutu Eropah supaya mengecualikan Huawei daripada rangkaian 5G mereka, tetapi Perancis dan Britain enggan bekerjasama setakat ini.

    Pihak berkuasa Perancis berkata pada awal bulan ini mereka tidak akan mendiskriminasikan syarikat itu namun akan mengutamakan operator Eropah, seperti Nokia dan Ericsson. – AFP

    Gambar fail bertarikh 16 Disember 2019 menunjukkan CEO Huawei, Liang Hua bergambar dengan telefon pintar Huawei ketika di Paris. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda