BEIJING, 25 OGOS – Syarikat gergasi telekomunikasi China, Huawei berkata hari ini bahawa ia telah memperbaharui perjanjian pelesenan dengan Ericsson untuk menggunakan teknologi masing-masing, sebagai usaha menangkis amaran Amerika Syarikat (AS) mengenai risiko pengintipan oleh Beijing.
Huawei telah menjadi pusat persaingan teknologi yang sengit antara China dan AS, di mana ia telah menafikan tuduhan AS yang mengesyakinya melakukan pengintipan bagi pihak Beijing.
Sekatan AS ke atas Huawei sejak 2019 telah memutuskan firma itu daripada rantaian bekalan global untuk komponen Amerika dan menghalang perkembangan telefon pintarnya sekali gus memaksanya untuk beralih kepada bidang pertumbuhan lain.
Washington juga telah mendesak sekutunya untuk mengharamkan penggunaan peralatan Huawei dalam rangkaian telekomunikasi 5G mereka, dengan alasan bahawa Beijing boleh menggunakan peralatan itu untuk mengintip komunikasi dan trafik data negara lain.
Di sebalik ketegangan itu, Huawei dan Ericsson yang berpangkalan di Stockholm, telah menandatangani perjanjian global ‘jangka panjang’ untuk saling melesenkan paten masing-masing, kata syarikat China itu dalam satu kenyataan hari ini.
Perjanjian itu meliputi paten yang penting untuk teknologi selular 3G, 4G dan 5G serta ‘jualan infrastruktur rangkaian dan peranti pengguna’ kedua-dua syarikat, kata Huawei. – AFP


