BEIJING, 17 JULAI – Gergasi teknologi Huawei kembali menduduki tangga teratas dalam pasaran telefon pintar China buat pertama kali dalam tempoh lebih empat tahun, mengatasi syarikat teknologi Amerika Syarikat (AS), Apple, serta pesaing tempatan seperti Xiaomi, menurut laporan daripada International Data Corporation (IDC) yang berpangkalan di AS.
Pengeluar peranti dari Shenzhen itu menguasai 18.1 peratus pasaran telefon tempatan pada suku kedua tahun ini, dengan penghantaran sebanyak 12.5 juta unit, menurut laporan IDC yang diterbitkan pada Selasa.
Kebangkitan semula Huawei di pasaran domestik berlaku selepas syarikat itu berdepan sekatan eksport dari AS, pengharaman oleh beberapa negara Barat serta siasatan rasuah di Belgium.
Pasaran telefon pintar keseluruhan di China mengalami penyusutan selepas enam suku berturut-turut mencatatkan pertumbuhan, menurut data IDC, dengan jumlah penghantaran sebanyak 69 juta unit – turun empat peratus berbanding tahun lalu.
“Walaupun terdapat kelonggaran perniagaan sementara antara AS dan China, persekitaran ekonomi secara keseluruhannya masih mencabar, dengan keyakinan pengguna kekal rendah,” kata Arthur Guo, penganalisis penyelidikan kanan di IDC dalam laporan itu.
“Ini menunjukkan permintaan telefon pintar dijangka tidak akan meningkat dalam masa terdekat dan pasaran akan terus berdepan landskap yang lebih kompleks dalam separuh kedua tahun ini.”
Ekonomi China mencatat pertumbuhan lebih lima peratus pada suku kedua, menurut angka rasmi, meskipun berdepan gangguan tarif yang dicetuskan oleh Presiden AS, Donald Trump.
Huawei menjadi tumpuan dalam ketegangan antara dua ekonomi terbesar dunia selepas Washington mendakwa peralatan syarikat itu boleh digunakan oleh Beijing untuk tujuan pengintipan – satu dakwaan yang dinafikan oleh Huawei. – AFP


