Tuesday, September 17, 2024
24.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Huawei lancar Mate XT baharu

    BEIJING, 10 SEPT – Teknologi gergasi China, Huawei, hari ini telah melancarkan telefon pintar baharunya, yang dinamakan sebagai telefon tiga lipatan (trifold) pertama di dunia, hanya beberapa jam selepas pesaingnya, Apple, melancarkan iPhone terbaharunya yang dibina menggunakan kecerdasan buatan.

    Mate XT telah dilancarkan secara rasmi dalam pembentangan ucaptama oleh Eksekutif Huawei, Richard Yu, di ibu pejabat syarikat itu di bandar selatan Shenzhen.

    Pada asalnya direka sebagai telefon premium untuk kumpulan pelanggan tertentu, lebih tiga juta orang yang berminat telah mendaftar untuk membeli Mate XT sebelum pelancarannya.

    Diiklankan dalam reka bentuk merah dan emas yang anggun, telefon itu secara rasmi mula dijual pada 20 September dengan harga bermula pada AS$2,800 iaitu tiga kali ganda lebih tinggi daripada iPhone 16 baharu.

    “Huawei sentiasa menjadi peneraju dalam industri telefon boleh lipat,” kata Yu dalam ucapan beliau.

    Telefon tiga lipatan teknologi baharu keluaran Huawei, Mate XT dipaparkan semasa hari pelancarannya di kedai Huawei di Hangzhou, di wilayah Zhejiang timur China pada 10 September. – AFP

    “Ini adalah telefon tiga lipatan pertama di dunia,” katanya.

    “Kami telah melakukan banyak usaha untuk menyelesaikan masalah berkaitan pengeluaran besar-besaran dan kebolehpercayaan produk,” tambahnya.

    Menurut seorang pemerhati, pelancaran telefon tiga lipatan Huawei tidak mungkin menjejaskan jualan Apple dalam sektor telefon premium memandangkan harganya dan pengaruh firma gergasi California itu di China.

    “Kesannya terhadap bahagian pasaran Apple mungkin sangat terhad memandangkan populariti Apple di negara ini,” kata Pengarah Bersekutu di Syarikat Penyelidikan Counterpoint, Ethan Qi.

    Namun seorang lagi pemerhati menambah ia akan merangsang ‘kepimpinan teknologi’ syarikat berkenaan.

    “Ia akan mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju dalam sektor telefon boleh lipat dalam kalangan pengguna,” kata Penganalisis Kanan di Canalys, Toby Zhu, kepada AFP. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda