HUAWEI telah melancarkan telefon pintar P20 dan P20 Pro terbaharunya pada satu acara di Paris, baru-baru ini.
Syarikat China itu berkata bahawa siri P20 ini menonjolkan ciri-ciri kamera yang dikuasakan AI dengan optik yang dihasilkan bersama Leica.
Pada acara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perniagaan Pelanggan, Richard Yu berkata, syarikat itu melangkau moniker P11 dan terus kepada P20 sebagai model terbaharu yang mempunyai penambahbaikan besar berbanding generasi sebelumnya.
Huawei P20 dan P20 Pro adalah peranti dua SIM yang menggunakan EMUI 8.1 berasaskan Android 8.1 Oreo. Kedua-duanya juga menyokong Google ARCore dan Google Assistant yang telah diubahsuai.
Kedua-dua model dikuasakan dengan SoC Huawei HiSilicon Kirin 970 lapan teras (2 teras Cortex-A73 berkelajuan 2.36GHz dan 4 teras Cortex-A53 pada 1.8GHz) yang dilengkapi dengan Unit Pemprosesan Neural (NPU) khas.

NPU berkenaan menyediakan AI kepada peranti dan dikatakan memberikan kelajuan respons sistem sehingga 60 peratus lebih baik dan operasi 50 peratus lebih lancar.
Huawei P20 mempunyai RAM 4GB sementara itu, P20 Pro mempunyai RAM 6GB dengan kedua-duanya mempunyai storan dalaman 128GB. Kedua-dua peranti didatangkan dengan ciri Face Unlock 360 darjah, dikatakan mampu membuka peranti dalam masa sekurang-kurangnya 0.6 saat.
Huawei P20 menampilkan paparan full-HD+ (1080×2244 piksel) RGBW FullView 5.8 inci dengan W singkatan bagi White dan bertujuan untuk menyediakan kejelasan cahaya matahari lebih baik.
Paparan ini dikatakan mempunyai kecerahan maksimum 770 nit, yang Huawei katakan, 23 peratus lebih terang daripada iPhone X. Elemen putih berkenaan juga dikatakan menyediakan penggunaan tenaga yang lebih baik.
Syarikat itu juga mengatakan bahawa P20 mempunyai saiz paparan yang sama seperti Samsung Galaxy S9 dan iPhone X tetapi, ia dikatakan menampilkan paparan sebenar yang lebih besar disebabkan bezel dan rekaan takuk yang lebih kecil.
Ia juga didatangkan dengan punat utama yang menyokong ‘edgeless fingerprint’. Selain itu, terdapat sokongan gerak isyarat pada punat utama.
Sementara itu, P20 Pro pula menonjolkan paparan full-HD+ (1080×2240 piksel) OLED FullView 6.1 inci, dikatakan mempunyai nisbah kontras 1:1,000,000 dan 105 peratus gamut warna. Selain daripada itu, P20 Pro mengetengahkan punat utama, bezel dan rekaan takuk yang sama seperti P20.
Kedua-dua peranti dikatakan mempunyai ‘paparan tona semula jadi’, selesa bagi semua keadaan cahaya
Huawei berkata bahawa P20 mempunyai rating IP53 bagi kalis debu dan air. Ia disokong bateri 3400mAh, walaupun hanya 7.65mm tebal, syarikat itu berkata, ia menyediakan sehingga 76 jam masa mendengar muzik.
Huawei P20 Pro pula mempunyai rating IP67 bagi kalis debu dan air serta dikuasakan dengan bateri 4000mAh, walaupun dengan ketebalan 7.8mm, ia mampu menyediakan sehingga 89 jam masa mendengar muzik.
Kedua-dua bateri menyokong pengecasan pantas Huawei SuperCharge yang mampu mengecas 58 peratus dalam masa 30 minit.
Dari segi kamera, P20 mempunyai tetapan dua kamera di belakang dengan 1.55-mikron piksel yang besar, menonjolkan sensor RGB 1/2.3-inci 12MP yang dipadakan dengan apertur f/1.8 dan satu lagi sensor monokrom 20MP yang dipadankan dengan apertur f/1.6 (VARIO-SUMMILUX-H 1:1.6/27 ASPH).
Gabungan itu memberikannya prestasi fotografi cahaya rendah yang superior, menurut syarikat itu.
Di depan pula, Huawei P20 menonjolkan kamera 24.8MP dengan ciri-ciri yang syarikat itu katakan membantu mengambil selfie lebih baik. Ia juga didatangkan dengan kesan pencahayaan potret 3D.
Huawei P20 Pro pula dilengkapi tiga kamera belakang, ciri yang menarik perhatian ramai. Kamera paling atas mempunyai sensor 8MP dengan zum optik 3x menggunakan lensa telefoto Leica ((VARIO-SUMMILUX-H 1:1.6-2.4/27-80ASPH). Kamera kedua pula mempunyai sensor RGB 1/1.7-inci 40MP, sementara itu, kamera ketiga mempunyai sensor monokrom
20MP.
Di antara lensa-lensa besar, terdapat pemancar dan penerima laser, bagi autofokus lebih pantas, serta sensor suhu warna Leica. Kamera berkenaan mempunyai kesensitifan cahaya sehingga ISO 102400, sama seperti Canon 5D Mark IV, menurut syarikat itu.