SHENZHEN, CHINA, 31 MAC – Keuntungan Huawei merosot hampir 69 peratus pada tahun lalu, kata syarikat hari ini, ketika sekatan Amerika Syarikat (AS) dan ketidakpastian ekonomi antarabangsa menjejas pendapatan syarikat gergasi teknologi China itu.
Syarikat itu mencatat keuntungan bersih berjumlah 35.6 bilion yuan (AS$5.2 bilion) pada 2022, merosot 68.7 peratus daripada 113.7 bilion pada tahun lalu.
“Pada 2022, persekitaran luar mencabar dan faktor bukan pasaran terus memberikan kesan ke atas operasi Huawei,” kata pengerusi bergilir syarikat, Eric Xu pada sidang media laporan tahunan.
“Di tengah kekacauan ini, kami mengekalkan momentum, melakukan segala-galanya dalam kuasa kami untuk meneruskan perniagaan dan memberikan khidmat kepada pelanggan kami,” kata beliau.
“Kami juga berusaha untuk mewujudkan aliran pendapatan yang kukuh untuk menampung kelangsungan kami dan meletakkan asas untuk pembangunan masa depan.”
Bercakap mengenai kemerosotan dalam keuntungan, Ketua Pegawai Kewangan syarikat, Meng Wanzhou, anak perempuan pengasas Ren Zhengfei, menyifatkan keputusan sebagai ‘waktu paling teruk dalam sejarah Huawei.’
“Sekatan AS merupakan normal baharu kami,” kata beliau, menambah syarikat sedang ‘kembali kepada perniagaan seperti biasa.’
“Pada masa tertekan, kami meneruskan dengan penuh keyakinan.” – AFP
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2023/04/P14-WEB-Huawei_01042023.jpg)