Huawei minta AS batalkan pengharaman subsidi

SHENZHEN, CHINA, 5 DIS – Syarikat gergasi teknologi China Huawei meminta mahkamah persekutuan Amerika Syarikat (AS) supaya membatalkan satu keputusan yang melarang firma telefon luar bandar daripada menggunakan wang kerajaan untuk membeli peralatannya atas sebab-sebab keselamatan.

Tindakan guaman yang diumumkan hari ini adalah cabaran perundangan kedua Huawei Technologies Ltd pada tahun ini terhadap usaha pentadbiran Trump untuk mengurangkan kehadiran pasaran AS. Syarikat itu sedang berusaha untuk memelihara jualan telefon pintar global dan rangkaian peralatan berikutan sekatan yang diumumkan pada Mei yang mengehad akses kepada komponen dan teknologi AS.

Huawei, yang berkata ia milik pekerja dan tidak mempunyai hubungan kerajaan, menafi tuduhan AS ia menimbulkan risiko keselamatan dan mungkin melancarkan pengintipan China.

Tindakan guaman Huawei di mahkamah persekutuan AS di New Orleans berkata Suruhanjaya Komunikasi Persekutuan bertindak tidak wajar apabila ia mengundi pada bulan lalu untuk melarang syarikat luar bandar daripada menggunakan subsidi kerajaan untuk membeli peralatan daripada Huawei atau pesaing China, ZTE Corp.

Keputusan itu “adalah berdasarkan politik, bukan keselamatan,” beritahu ketua pegawai perundangan Huawei, Song Liuping, pada sidang media.

Tindakan guaman itu berkata FCC melampaui batasan kuasa dengan membuat penilaian keselamatan negara, menganggap Huawei satu ancaman tanpa bukti dan mencabul prosedurnya sendiri dengan melaksana satu peraturan tanpa asas perundangan.

Huawei mengingatkan peraturan FCC akan menjejas syarikat luar bandar Amerika, yang membeli peralatan peniaga China disebabkan pembekal utama lain seperti Nokia dan Ericsson adalah lebih mahal. – AP

Song Liuping (kanan), ketua pegawai perundangan Huawei, tiba untuk sidang media di kampus Huawei di Shenzhen, selatan wilayah Guangdong, China, kelmarin. – AP