BARCELONA, 27 Feb – Huawei China telah menggunakan kemampuan kecerdasan buatan (AI) telefon kebanggaannya Mate 10 dengan memandu sebuah kereta sport Porche ketika Kongres Mudah Alih Dunia (MWC) yang berlangsung di Barcelona semalam, yang dikatakan sebagai yang pertama di dunia.
Kereta itu telah mengelak beberapa halangan termasuklah seekor anjing dan sebuah motosikal ketika ia dipandu di garisan lurus untuk memperlihatkan teknologi mengenali objek berkuasa AI dalam kamera telefon itu.
Syarikat teknologi terbesar itu mengatakan ia adalah ‘pengeluar peranti bergerak pertama di dunia yang menggunakan telefon pintar yang dikuasakan oleh AI untuk memandu kereta’ dengan mengatakan teknologi itu mampu membezakan antara beribu-ribu objek berlainan dan ia berupaya untuk mengelak sebarang perlanggaran.
Huawei berkata ujian itu hanya dibuat untuk memperlihatkan kemampuan AI telefonnya dan tidak merancang untuk mengeluarkan kereta baharu tanpa pemandu.

“Telefon pintar ini mengawal sepenuhnya kenderaan, kami tidak melakukan apa-apa melainkan elemen stereng,” ujar Arne Herkelmann, yang mengetuai portfolio telefon Huawei di Eropah.
“Kamera melihat ada sesuatu di jalan raya, mengenalinya dan bertindak dengan mengelaknya, kami melatih AI untuk mampu mengenali jalan raya dan kemungkinan terhadap sebarang halangan.”
Tahun lalu, Huawei telah menjadi penjual ketiga terbesar telefon pintar di dunia selepas Samsung dan Apple, dengan memegang 10.4 peratus saham pasaran, meningkat dari 9.5 peratus tahun sebelumnya, menurut perangkaan dari firma penyelidikan IDC. – AFP