Friday, October 25, 2024
29.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    ‘Hubung kaitkan MIB dengan pembangunan negara’

    Oleh Salawati Haji Yahya – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 24 OKT – Melayu Islam Beraja (MIB) dilihat dan diyakini dapat berfungsi selaras dengan visi Universiti Brunei Darussalam (UBD) ‘Ke arah Kesempurnaan Insan’, kerana ia sebagai satu modul yang mengajar mahasiswa-mahasiswi supaya mengetahui dengan menghargai dan seterusnya menghayati nilai-nilai murni cara hidup
    keBruneian.

    Ini seperti nilai budaya, seni sastera, sejarah dan yang berkaitan dengan kemelayuan, keislaman dan keberajaan yang terdapat dalam MIB sebagai falsafah kenegaraan
    kita.

    Perkara tersebut ditekankan oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman semasa menyampaikan ucapan perasmian pada Majlis Sambutan Hari MIB UBD di Ruang Legar Perpustakaan Utama UBD, hari ini.

    Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama seterusnya menambah Akademi Pengajian Brunei (APB) UBD sedang membuat pendekatan untuk melihat MIB sebagai falsafah negara dengan nilai-nilai kemelayuan, keislaman dan keberajaan yang perlu dilihat seiring dengan pembangunan negara yang mapan dan selari dengan Matlamat Pembangunan Mapan (SDG).

    Sehubungan itu, APB UBD sedang membuat suatu pendekatan baharu dalam mengetengahkan MIB sebagai falsafah negara.

    Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin menyampaikan ucapan perasmian pada majlis tersebut. – GAMBAR OLEH SALAWATI HAJI YAHYA

    “Pendekatan yang menghubungkaitkan MIB dengan pembangunan negara dan selari dengan SDG.

    “Walaupun pendekatan ini berbeza daripada pendekatan konvensional yang setakat mengetengahkan nilai-nilai murni kemelayuan, keislaman dan keberajaan, namun timbulnya kewajaran menghubung kaitkan MIB dengan pembangunan negara itu,” tegasnya.

    Dalam pada itu harus dan perlu juga difahami serta perlu untuk diteruskan bahawa pendekatan yang konvensional itu tetap releven, dengan menerapkan nilai MIB iaitu kemelayuan, keislaman dan keberajaan sebagai falsafah negara.

    Beliau seterusnya menjelaskan, APB UBD dan semua mestilah memahami pembangunan yang ingin diintegrasikan dengan prinsip-prinsip MIB itu merupakan pembangunan kebangsaan negara MIB.

    “Pendekatan yang wajar dalam mengintegrasikan prinsip-prinsip MIB dengan pembangunan itu ialah pembangunan kebangsaan negara MIB kita yang dirancang dan dilaksanakan dalam Wawasan Brunei 2035,” jelasnya.

    Pendekatan itulah yang akan dilakukan seterusnya dalam memperkatakan dan mengetengahkan MIB sebagai falsafah negara di samping pendekatan yang konvensional tentang nilai-nilai murni kemelayuan, keislaman dan keberajaan.

    Selain itu, Yang Berhormat Pehin juga mengongsikan bahawa sejak 40 tahun Negara Brunei Darussalam mencapai kemerdekaan, negara MIB telah melancarkan lapan kali RKN, sebagai lanjutan atau kesinambungan RKN 1 yang mula diperkenalkan dalam tahun 1953.

    Pada dasarnya kesemua RKN adalah untuk membangun dan memajukan negara yang menepati makna usaha negara untuk mencapai masa depan yang lebih baik dan lebih mapan untuk semua rakyat dan penduduk.

    “Hasil dan kesannya di mana rakyat dan negara sedang berada dalam arus pembangunan, bukan sahaja pada menepati komitmen negara kepada SDG Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu itu, bahkan yang penting adalah komitmen negara untuk memenuhi hasrat yang diazamkan dalam pemasyhuran kemerdekaan 40 tahun yang lalu,” jelasnya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda