Wednesday, October 23, 2024
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hubungan Ajak dan Shahrol Shiro kembali pulih

    Setelah sekian lama tidak bertegur sapa dengan Shahrol Shiro, pertemuan bersama mereka sempena sambutan Hari Raya Aidiladha pada Isnin lalu menjadi kenangan paling bermakna buat penyampai radio Suria FM iaitu Ajak Shiro.

    Memetik laporan mStar, Ajak atau Mohd Hanafi Razak, 39, berkata meskipun mereka pernah berjumpa tahun lalu, namun kali ini terasa sungguh berbeza sekaligus menamatkan salah faham yang pernah terjadi antara mereka berdua sebelum ini.

    “Tahun lalu kami ada berjumpa namun selepas itu tidak lagi berhubung. Raya Aidiladha kali ini sekali lagi Shahrol ajak berjumpa dan saya datang ke pejabatnya di mana hanya kami berdua sahaja bersembang.

    “Perjumpaan kali ini memang terasa berbeza. Saya melihat dia dan kami pun sama-sama semakin meningkat usia. Buat apa sekadar berbaik namun tidak bertegur? Jadi runtuhkan ego masing-masing dan kami kembali berbaik.

    “Apa yang terjadi sebelum ini saya tidak pernah anggap sebagai sengketa atau perpisahan cuma mungkin salah faham dan terasa hati antara dua sahabat baik,” katanya ketika dihubungi mStar.

    Ajak dan Shahrol sebelum itu berkongsi detik pertemuan mereka di laman sosial masing-masing.

    Bercerita mengenai pertemuan itu, Ajak memberitahu mereka sempat berkongsi kenangan lama ketika sama-sama aktif sebagai pelawak dalam kumpulan Shiro.

    Kata Ajak lagi, pada awalnya beliau agak kekok untuk merakamkan gambar bersama namun akhirnya bersetuju untuk dijadikan kenangan mereka berdua.

    “Tahun lalu kami tidak rakam gambar bersama. Shahrol pun bukanlah seorang yang suka bergambar. Tetapi kali ini rasanya kami nak ambil gambar bersama walau pada awalnya agak kekok. Saya anggap gambar kami berdua itu cukup bernilai.

    “Banyak kenangan lama kami kongsikan. Saya melihat satu sudut di mana kejayaan bersama Shiro sebelum ini. Tak sangka rupanya dahulu kami pernah jadi sebuah kumpulan yang hebat.

    “Semoga pertemuan ini juga memberi impak kepada orang lain yang mungkin melalui jalan sama seperti kami. Sampai bila tidak mahu bertegur. Selagi ada kesempatan, lebih baik minta maaf,” ujarnya.

    Ajak bagaimanapun berkata beliau tidak melihat pertemuan itu sebagai petanda mereka akan kembali aktif di pentas lawak dan kembali bersatu sebagai kumpulan Shiro.

    “Ada tawaran yang datang kepada kami. Namun kalau nak buat comeback biarlah betul-betul memberi manfaat. Kami akan kembali bila perlu. Sekarang pun masing-masing sibuk dengan kerjaya sendiri,” jelasnya.

    Salah faham antara Ajak dan Shahrol sebelum ini menjadi bualan ramai selepas mereka saling berbalas kenyataan di sosial media sekitar tahun 2022. – Agensi

    Ajak dan Shahrol bertemu sempena sambutan Aidiladha. – mStar
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda