Hubungan antara dua buah negara berkembang positif

Oleh Sim Y. H.
Gambar serahan Kedutaan Kesultanan Oman

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 NOV – Hubungan kerjasama antara Australia dan Negara Brunei Darussalam dalam pelbagai bidang termasuk pendidikan, ekonomi, kebudayaan, kesihatan dan pertahanan telah berkembang dengan positif.

Perkembangan hubungan kerjasama itu, menunjukkan sumbangan yang signifikan Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Tiffany McDonald dalam memajukan lagi hubungan dua hala di antara kedua-dua buah negara itu.

Perkara itu dinyatakan oleh Dekan Kor Diplomatik dan Duta Kesultanan Oman ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Sheikh Ahmed bin Hashil Al-Maskari dalam ucapannya pada majlis perpisahan bagi Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Negara Brunei Darussalam yang bakal menamatkan perkhidmatannya, yang berlangsung secara maya, hari ini.

TYT Sheikh Ahmed menyatakan lagi bahawa semasa tempoh perkhidmatannya, Australia terus menjadi salah satu destinasi pilihan bagi pelajar-pelajar Brunei dari semua peringkat untuk melanjutkan pengajian mereka.

Di samping itu, walaupun terdapat gangguan disebabkan penularan pandemik COVID-19, eksport pertanian dan makanan Australia terus menikmati permintaan yang signifikan dalam pasaran di Brunei.

Majlis perpisahan bagi Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Negara Brunei Darussalam yang berlangsung secara maya.
TYT Sheikh Ahmed bersama PYT Tiffany McDonald menyertai majlis perpisahan yang berlangsung secara maya itu.

Selain daripada itu, tambahnya, semasa tempoh mencabar gelombang kedua penularan COVID-19 di Brunei, kerajaan Australia telah tampil ke hadapan dengan segera untuk menyumbangkan sebanyak 100,000 dos vaksin AstraZeneca ke Brunei.

Perkongsian vaksin buatan Australia dengan Brunei itu, ulasnya, merupakan demonstrasi hubungan erat di antara kedua-dua buah negara.

TYT Sheikh Ahmed berkata bahawa pada 2021, Brunei dan Australia telah mengukuhkan hubungan dua hala menerusi kerjasama dalam isu-isu serantau utama sepanjang tempoh Brunei sebagai pengerusi ASEAN 2021 termasuk menghoskan bersama Sidang Kemuncak Tahunan ASEAN-Australia yang pertama dan mengumumkan Australia sebagai rakan strategik komprehensif ASEAN.

TYT Sheikh Ahmed turut mengharapkan PYT Tiffany McDonald akan meraih kejayaan dalam tugasan hadapannya serta mengucapkan penghargaan bagi kerjasama dan sumbangannya kepada Kor Diplomatik dalam pelbagai aktiviti yang dikendalikan sepanjang tempoh perkhidmatannya.

Sementara itu, PYT Tiffany McDonald dalam ucapannya merafak sembah penghargaan kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, kerabat diraja, kerajaan Negara Brunei Darussalam dan Kor Diplomatik atas kerjasama serta sokongan penuh sepanjang tempoh perkhidmatannya di Negara Brunei Darussalam.

Beliau juga mengucapkan penghargaan kepada Dekan Kor Diplomatik dan rakan-rakan dalam komuniti diplomatik atas inisiatif mereka menganjurkan majlis perpisahan maya itu semasa dalam keadaan COVID-19.

Puan Yang Terutama telah menyembahkan Surat Tauliah Pelantikan kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia pada 10 September 2020.