Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Sept – Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Negara Brunei Darussalam, hari ini, telah menganjurkan Resepsi Persidangan dan Rangkaian Alumni sebagai sebahagian daripada acara ‘Let’s Go America!’ di Hotel Radisson di ibu negara.
Acara berkenaan telah dihadiri oleh Duta Besar AS ke Negara Brunei Darussalam, Craig B. Allen selaku tetamu kehormat, alumni bagi program-program pertukaran Kedutaan AS seperti Fulbright, Program Kepimpinan Pelawat Antarabangsa (IVLP), Program Pemimpin-pemimpin Muda Asia Tenggara (SEAYLP) dan Inisiatif Pemimpin-pemimpin Muda Asia Tenggara (YSEALI).
Dalam ucapannya di majlis itu, Allen telah menyentuh mengenai kepentingan program-program pertukaran yang telah dianjurkan oleh Kedutaan AS.
“Alumni program pertukaran AS mewakili hubungan penting dan langsung antara kedua-dua negara dan akan mengukuhkan hubungan AS– Brunei bagi tahun-tahun yang akan datang.
“Hubungan alumni yang kukuh adalah asas yang terbaik bagi hubungan positif antara negara-negara melalui hubungan peribadi yang berterusan,” tambahnya.

Tahun ini tahun keempat Kedutaan AS mengadakan ‘Let’s Go America!’ yang merupakan inisiatif diplomasi awam tahunan bagi mempamerkan peluang pendidikan, maklumat perjalanan, pameran kebudayaan dan maklumat mengenai menjalankan perniagaan di AS.
Majlis berkenaan mengumpulkan lebih kurang 85 orang alumni program pertukaran kerajaan AS yang dianjurkan melalui Biro Hal Ehwal Pendidikan dan Kebudayaan (ECA), Jabatan Negara, AS.
Ia memberikan peluang kepada para alumni untuk berhubungan antara satu sama lain, mengongsikan pengalaman mereka melancong, belajar dan tinggal di AS serta berbincang mengenai kemungkinan peluang kerjasama dalam projek komuniti yang berterusan.
Majlis juga menyaksikan sesi panel bersama para alumni program-program bertukaran AS, antaranya ialah Jacqueline Liew (Program Pelajar Asing Fulbright 2013) yang mengongsikan mengenai mengatasi cabaran dan memperkenalkan perubahan dalam industri kreatif di Brunei selepas Program Fulbright; Dr. Lim Tiong Hoo (Fulbright U.S.-ASEAN Visiting Scholar Program 2015) yang mengongsikan mengenai pengalaman yang diperolehi semasa Program Fulbright selain menggalakkan penyelidikan di Brunei.
Selain itu, Chia Jia Shin (IVLP 2017 mengenai Keusahawanan Sosial) yang telah menjelaskan mengenai bagaimana keusahawanan sosial di AS boleh diaplikasikan di Brunei; Goh Chai Li (YSEALI Professional Fellow 2017: INITIATIVE Startup Workshop) yang mengongsikan mengenai kemahiran yang diperoleh di AS dan kejayaan dalam melaksanakan projek/rancangan selepas program tersebut; dan Dayang Norhayatun Najibah binti Kifli (YSEALI Professional Fellow 2016: YAS Brunei) yang mengongsikan mengenai pemerhatian dan penanganan isu pemerdagangan manusia serta isu hak asasi manusia yang lain bersama YAS Brunei.
Majlis diikuti dengan sesi rangkaian antara para alumni sambil menikmati jamuan yang disediakan.