Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 JAN – Hubungan dua hala antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Rakyat China terus dikembangkan dan diperkukuhkan dalam pelbagai bidang pada 2024.
Di bawah kepimpinan bijaksana Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Presiden Republik Rakyat China, kedua-dua buah negara telah mengukuhkan lagi kepercayaan politik bersama dan mengembangkan kerjasama dalam pelbagai bidang yang membawa hubungan dua hala ke arah membina masyarakat masa hadapan bersama.
Perkara itu dinyatakan oleh Duta Besar Republik Rakyat China ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Xiao Jianguo dalam Resepsi Tahun Baharu Cina yang berlangsung di Manggis, kelmarin.
Hadir di majlis berkenaan ialah ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Lau How Teck dan Yang Berhormat Chong Chin Yee, Yang Dimuliakan Pehin Kapitan Lela Diraja Dato Paduka Goh King Chin serta jemputan-jemputan khas.
Dalam ucapannya lagi, TYT Xiao Jianguo menyatakan bahawa hubungan Brunei-China memasuki bab yang baharu dengan kedua-dua buah negara meningkatkan diplomasi peringkat tinggi, membina kepercayaan politik dan mengembangkan kerjasama berkepentingan bersama yang akan membawa lebih banyak kemajuan dan manfaat kepada rakyat kedua-dua buah negara.
Majlis diserikan dengan acara penulisan kaligrafi ucapan sambutan yang diketuai oleh TYT Xiao Jianguo bersama para jemputan khas termasuk Yang Berhormat Lau How Teck, Yang Berhormat Chong Chin Yee dan Yang Dimuliakan Pehin Kapitan Lela Diraja Dato Paduka Goh King Chin.
Majlis juga dimeriahkan dengan persembahan dram tradisional, tarian singa, nyanyian serta muzik tradisional.