Oleh Sim Y.H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 FEB – Hubungan dua hala antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Rakyat China terus berkembang kukuh di mana kedua-dua pihak terus mendalami kepercayaan politik bersama selaras dengan Wawasan Brunei 2035 dan Inisiatif Jalur dan Laluan.
Di samping itu, kedua-dua negara terus mengembangkan kerjasama pragmatik dalam pelbagai bidang dengan projek petrokimia Hengyi mencatat perkembangan mantap, pelancaran pengembangan Pelabuhan Muara, penanaman padi hibrid membuahkan hasil, kerjasama perikanan dan pertanian mencapai prospek yang lebih luas serta pertukaran orang-ke-orang dalam pendidikan, kebudayaan, kerajaan tempatan serta masyarakat awam semakin kerap.
Semua pencapaian berkenaan bukan sahaja memberikan manfaat kepada kedua-dua negara dan rakyatnya tetapi juga memberikan sumbangan yang positif kepada kemakmuran dan pembangunan serantau.
Perkara itu dijelaskan oleh Duta Republik Rakyat China ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Xiao Jianguo dalam ucapannya di Majlis Pembukaan Hari China 2025 dan Pesta Tanglung yang berlangsung di Dewan Sekolah Menengah Chung Hwa, Bandar Seri Begawan, kelmarin.
Hadir di majlis berkenaan ialah Setiausaha Tetap (Kebeliaan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Haji Zakaria bin Haji Serudin serta para jemputan khas.
Dalam ucapannya lagi, TYT Xiao Jianguo menerangkan bahawa Hari China menjadi sebuah platform penting bagi rakan-rakan dari Brunei untuk mengenali lebih mendalam mengenai China.
Menurutnya, acara Hari China pada 2025 digabungkan dengan Pesta Tanglung di mana ia mengetengahkan keunikan budaya masyarakat China yang unik serta berwarna-warni.
Di samping itu, ia juga meningkatkan persahabatan dan kepercayaan bersama di antara warga kedua-dua buah negara serta membantu menyokong dalam membina masyarakat China-Brunei masa depan bersama.