Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hubungan Brunei-Indonesia terus kukuh

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 7 NOV – Sempena Hari Kemerdekaan Republik Indonesia ke-78, Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) di sini telah mengadakan majlis resepsi di Hotel Antarabangsa Rizqun, malam ini.

    Hadir mewakili kerajaan Negara Brunei Darussalam ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof dan isteri.

    Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Indonesia ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Dr Achmad Ubaedillah dalam ucapan alu-aluannya telah menyentuh mengenai hubungan dua hala dalam pelbagai bidang antara Brunei dan Indonesia yang semakin rapat khususnya dalam bidang diplomatik, perdagangan, pendidikan, politik, sekuriti, pertahanan dan banyak lagi.

    Seperti yang telah maklum, ujar beliau, seramai 22,000 orang pekerja warganegara Indonesia berada di Negara Brunei Darussalam dan dalam konteks itu, keutamaan KBRI adalah untuk sentiasa memastikan mereka selamat dan sejahtera.

    Beliau juga menjunjung kasih kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas keprihatinan, sokongan dan perlindungan berterusan yang diberikan kepada rakyat Indonesia di negara ini.

    Tuan Yang Terutama seterusnya menyentuh mengenai hubungan perdagangan dua hala, yang mana terdapat potensi besar bagi kedua-dua buah negara untuk mengembangkan kerjasama ekonomi.

    Data telah menunjukkan bahawa sejak empat tahun lalu, perdagangan telah meningkat sebanyak 79.18 peratus dan Indonesia kini merupakan rakan dagang ke-6 terbesar bagi Brunei.

    Tuan Yang Terutama juga memberikan tumpuan untuk mengembangkan industri halal antara Indonesia dan Brunei memandangkan potensi besar untuk bekerjasama dalam bidang berkenaan seperti dalam perbankan syariah dan produk halal.

    Majlis diteruskan dengan acara memotong kek dan persembahan tarian daripada pelbagai budaya di Indonesia termasuk persembahan muzik angklung, salah satu peralatan muzik tradisional Indonesia.

    Majlis Resepsi Hari Kemerdekaan Republik Indonesia ke-78 menyaksikan upacara memotong kek yang disempurnakan bersama oleh Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi dan TYT Dr Achmad Ubaedillah. – GAMBAR-GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Para jemputan yang menghadiri ke majlis tersebut. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi dan isteri hadir selaku tetamu kehormat majlis. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Bergambar ramai. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda