BANDAR SERI BEGAWAN, 5 MEI – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, hari ini berkenan mengalu-alukan kedatangan Presiden Republik Kosovo, Puan Yang Terutama Dr Vjosa Osmani-Sadriu, dan First Gentleman, Prindon Sadriu, serta rombongan yang berada di Negara Brunei Darussalam bagi mengadakan Lawatan Negara ke negara ini selama tiga hari.
Ini menandakan lawatan sulung Puan Yang Terutama ke Negara Brunei Darussalam.
Terdahulu, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM), dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah berangkat bersama PYT Presiden Republik Kosovo dan First Gentleman dari Istana Edinburgh menuju ke Istana Nurul Iman.
Di sepanjang jalan menuju ke Istana Nurul Iman, PYT Presiden Republik Kosovo dan First Gentleman disambut dengan pengibaran bendera kecil kedua-dua buah negara oleh para penuntut dan guru-guru dari beberapa buah sekolah kerajaan dan swasta.
MAJLIS SAMBUTAN NEGARA
Majlis Sambutan Negara berlangsung di perkarangan Istana Nurul Iman, di mana Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri bersama-sama PYT Presiden Republik Kosovo dan First Gentleman menaiki pentas khas untuk menerima tabik hormat diiringi dengan lagu kebangsaan kedua-dua buah negara serta 21 das tembakan meriam.
Kedua-dua pemimpin seterusnya beredar memeriksa barisan kawalan kehormatan yang terdiri daripada anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB).
PYT Presiden Republik Kosovo dan First Gentleman seterusnya diperkenalkan kepada ahli-ahli kerabat diraja; pengiran-pengiran cheteria; menteri-menteri kabinet; ahli-ahli Majlis Mesyuarat Di-Raja; timbalan-timbalan menteri; pemerintah ABDB; pemangku pesuruhjaya Polis Diraja Brunei; ketua-ketua perwakilan asing; ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara; dan setiausaha-setiausaha tetap dari JPM dan Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri; berserta pasangan masing-masing.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia kemudiannya disembahkenalkan kepada ahli-ahli rombongan rasmi Republik Kosovo termasuk Ketua Staf, Pejabat Presiden Republik Kosovo dan penasihat-penasihat dari Pejabat Presiden Republik Kosovo.
MAJLIS MENGADAP
Selesai Majlis Sambutan Negara, Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri berangkat bersama PYT Presiden Republik Kosovo dan First Gentleman ke Cheradi Laila Kenchana bagi Majlis Mengadap.
Berangkat sama ke Majlis Mengadap tersebut ialah ahli-ahli kerabat diraja.
Juga hadir ialah rombongan Republik Kosovo; dan Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin, selaku Menteri Pengiring; serta isteri.
MAJLIS PENGANUGERAHAN ORDER OF INDEPENDENCE DAN BINTANG KEBESARAN DARJAH KERABAT LAILA UTAMA YANG AMAT DIHORMATI NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
Majlis Mengadap tersebut diikuti dengan Majlis Penganugerahan Order of Independence yang dipersembahkan oleh PYT Presiden Republik Kosovo kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia juga berkenan mengurniakan Bintang Kebesaran Negara Brunei Darussalam Darjah Kerabat Laila Utama Yang Amat Dihormati (DK) kepada PYT Presiden Republik Kosovo yang membawa gelaran Datin Laila Utama.
Doa Selamat dibacakan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.
MAJLIS PERJUMPAAN DUA HALA
Kebawah Duli Yang Maha Mulia seterusnya mengadakan Majlis Perjumpaan Dua Hala dengan PYT Presiden Republik Kosovo di Cheradi Ratna Kenchana, antara lain, kedua-dua pemimpin membincangkan isu dua hala dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama, khususnya, meneroka cara untuk meningkatkan kerjasama ekonomi dan hubungan rakyat dengan rakyat antara kedua-dua buah negara terutama penandatanganan Perjanjian Pengecualian Visa yang akan memudahkan serta membuka jalan bagi meningkatkan kerjasama antara kedua-dua negara.
MAJLIS PENANDATANGANAN PERJANJIAN
Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan menandatangani Perjanjian Antara Republik Kosovo dan Kerajaan KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bagi Pengecualian Visa untuk Pasport Biasa, Diplomatik dan Kerajaan bersama PYT Presiden Republik Kosovo.
MAJLIS PERSANTAPAN NEGARA
Pada sebelah tengah hari, Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri seterusnya berangkat ke Majlis Santap Negara bagi meraikan Presiden Republik Kosovo, PYT Datin Laila Utama Dr Vjosa Osmani-Sadriu, dan First Gentleman, Prindon Sadriu, yang mengadakan Lawatan Negara ke negara ini.
Majlis Santap Negara dimulakan dengan bacaan Doa Selamat oleh Yang Berhormat Mufti Kerajaan.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan mengurniakan titah dan diikuti dengan ucapan balas daripada PYT Presiden Republik Kosovo.
Semasa bertitah, Baginda Sultan mengongsikan bahawa hubungan rapat antara kedua-dua buah negara telah membuka peluang kerjasama yang lebih mendalam di semua peringkat dan seterusnya mengukuhkan hubungan yang sudah lama terjalin.
Negara Brunei Darussalam dan Republik Kosovo mula menjalinkan hubungan diplomatik pada 20 Februari 2017. Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan PYT Presiden Republik Kosovo telah mengadakan Majlis Perjumpaan Dua Hala buat pertama kalinya pada atur cara sampingan semasa Sidang Kemuncak Masa Depan yang diadakan pada 23 September 2024 di New York, Amerika Syarikat.