Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hubungan Brunei, Oman pacu kerjasama ekonomi

    Oleh Sim Y. H. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 21 NOV – Sejak penubuhan hubungan diplomatik di antara Negara Brunei Darussalam dan Kesultanan Oman pada 1984, hubungan dua hala antara kedua-dua buah negara telah berkembang melalui lawatan peringkat tinggi serta perjanjian-perjanjian dalam pelbagai bidang.

    “Pertukaran budaya menjadi aspek penting dalam hubungan kedua-dua negara, dengan penyertaan tetap dalam pameran buku dan program berorientasikan bahasa Arab. Kedua-dua buah negara berusaha untuk memperdalam persefahaman melalui biasiswa dan menjemput pelajar bagi meneroka kekayaan warisan Oman.”

    Perkara itu dinyatakan oleh Duta Besar Istimewa dan Mutlak Kesultanan Oman ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Erma Said Mohamed Al Kathiry dalam ucapannya semasa Majlis Resepsi Ulang Tahun Hari Kebangsaan Kesultanan Oman ke-53 yang berlangsung di Royal Bershire Hall, Royal Brunei Polo and Riding Club, Jerudong, kelmarin.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid dan isteri.

    Dalam ucapannya lagi, PYT Erma menyatakan, kerjasama ekonomi antara kedua-dua buah negara terus bertambah baik yang meliputi pelbagai sektor termasuk minyak, gas kewangan dan pertanian.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda dan isteri menerima tanda penghargaan daripada PYT Erma Said semasa majlis berkenaan. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda dan isteri, PYT Erma Said serta para jemputan bergambar ramai semasa majlis berkenaan. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    Penubuhan Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Brunei-Oman pada 2009, ujar beliau lagi, amat instrumental dalam memacu kerjasama ekonomi yang menyaksikan penghasilan usaha sama yang berjaya.

    Selain itu, kemajuan dalam sektor tenaga dan pertahanan, ulasnya adalah stabil, dengan para profesional bertukar-tukar kepakaran dan angkatan tentera terlibat sama dalam kursus dan program pertahanan.

    “Aspirasi kami melangkaui politik, menyentuh bidang utama seperti industri, pelancongan, teknologi dan alam sekitar.

    “Kita juga menyaksikan kejayaan Mesyuarat Dua Hala ke-21 antara kedua-dua Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri baru-baru ini, dengan perjanjian kukuh untuk meningkatkan lagi hubungan dua hala dalam pelbagai bidang,” jelas Puan Yang Terutama lagi.

    Justeru itu pencapaian berkenaan, tambahnya, merupakan bukti kepada kepimpinan cemerlang Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Haitham bin Tarik.

    Puan Yang Terutama seterusnya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kerajaan Brunei Darussalam atas sokongan dan kerjasama yang tidak berbelah bahagi, dengan keyakinan berharap dapat menyaksikan pertumbuhan berterusan dan hubungan mesra serta memupuk pembangunan dan kejayaan bagi kedua-dua negara.

    Majlis diteruskan dengan pemotongan kek bersempena Hari Kebangsaan Kesultanan Oman yang disempurnakan bersama oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda, PYT Erma berserta duta-duta dari negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC) serta penyampaian tanda penghargaan daripada Puan Yang Terutama kepada Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda.

    Acara turut diserikan dengan tayangan beberapa buah filem dokumentari iaitu SEZAD at Port of Duqun, Oman Across Age Museum, Omani Halwa dan Oman Frankincense.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda