Thursday, December 12, 2024
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hubungan Brunei-Oman terus diperkukuh

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 11 DIS – Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna, Ambassador-at-Large di Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri (KHELN) telah berkenan berangkat mengadakan lawatan ke Kesultanan Oman bagi memperingati Ulang Tahun ke-40 Penubuhan Hubungan Diplomatik di antara Negara Brunei Darussalam dan Kesultanan Oman pada 8 hingga 10 Disember.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh KHELN, hari ini, pada 9 Disember, YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna telah berkenan mengadap kehadapan majlis His Majesty Sultan Haitham bin Tarik, Sultan Oman di Al Barakah Palace.

    Semasa majlis mengadap berkenaan, kedua-dua pihak menyatakan rasa puas hati dengan pencapaian kerjasama sepanjang tempoh 40 tahun hubungan dua hala dalam pelbagai bidang termasuk perdagangan dan pelaburan, pendidikan serta pertukaran rakyat.

    Pada sebelah malam, Yang Teramat Mulia berkenan berangkat menghadiri Majlis Resepsi bersempena Ulang Tahun ke-40 Penubuhan Hubungan Diplomatik di antara Negara Brunei Darussalam dan Kesultanan Oman di Al Bustan Palace Hotel, Muscat yang dihoskan bersama oleh Kedutaan Besar Negara Brunei Darussalam di Muscat, Kesultanan Oman dan Kementerian Luar Negeri Kesultanan Oman.

    Turut hadir semasa majlis resepsi berkenaan ialah Menteri Luar Negeri Kesultanan Oman, Tuan Yang Terutama Sayid Badr bin Hamad bin Hamood Albusaidi; Menteri Penerangan Kesultanan Oman, Tuan Yang Terutama Dr Abdullah bin Nasser bin Khalifa Al-Harrasi; pegawai-pegawai kerajaan dari kedua-dua buah negara dan warganegara Brunei Darussalam yang berada di Kesultanan Oman.

    Resepsi berkenaan turut mempamerkan persembahan kebudayaan dari kedua-dua buah negara.

    Semasa lawatan berkenaan, Yang Teramat Mulia juga turut berkenan berangkat mengadakan lawatan ke The National Museum dan Royal Opera House Muscat.

    Turut mengiringi Yang Teramat Mulia sepanjang lawatan berkenaan ialah Yang Amat Mulia Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz.

    Negara Brunei Darussalam dan Kesultanan Oman menjalin hubungan diplomatik pada 24 Mac 1984 dan kedua-dua buah negara menikmati kerjasama yang sangat baik dalam bidang perdagangan dan pelaburan, pendidikan, pertahanan serta pertukaran rakyat.

    Yang Teramat Mulia berkenan berangkat menghadiri Majlis Resepsi bersempena Ulang Tahun ke-40 Penubuhan Hubungan Diplomatik di antara Negara Brunei Darussalam dan Kesultanan Oman di Al Bustan Palace Hotel. Turut mengiringi Yang Teramat Mulia ialah YAM Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz. – GAMBAR SERAHAN KHELN
    YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna semasa berkenan mengadap kehadapan majlis His Majesty Sultan Haitham di Al Barakah Palace. – GAMBAR SERAHAN KHELN

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda