Khamis, November 20, 2025
26.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hubungan Brunei-Perancis saksikan perkembangan positif

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 14 JULAI – Hubungan dua hala antara Negara Brunei Darussalam dan Perancis terus menyaksikan perkembangan positif serta diperkukuhkan menerusi lawatan dan pertukaran peringkat tertinggi.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan berangkat bagi lawatan rasmi ke Paris, Perancis pada 13 dan 14 Oktober 2023 di mana lawatan Baginda telah membuka laluan bagi meningkatkan kerjasama dalam beberapa bidang utama termasuk usaha menentang perubahan iklim.

    Perkara itu dinyatakan oleh Duta Perancis ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Bernard Regnauld-Fabre dalam ucapan alu-aluannya di Majlis Resepsi Hari Kebangsaan Perancis (Bastille Day) yang berlangsung di Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong, hari ini.

    Hadir di majlis berkenaan ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad dan isteri, Datin Hajah Binanun binti Haji Bungsu.

    Turut hadir pada majlis berkenaan ialah perwakilan-perwakilan daripada negara-negara sahabat, pegawai-pegawai kanan kerajaan dan swasta serta para jemputan khas.

    Di samping itu, beliau menyatakan bahawa keputusan turut dibuat untuk mengadakan konsultasi politik kerap di antara Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri kedua-dua buah negara di mana edisi pertama dialog politik berkenaan adalah bertepatan dengan ulang tahun 40 tahun penubuhan hubungan diplomatik di antara Negara Brunei Darussalam dan Perancis.

    TYT Bernard Regnauld-Fabre menerangkan dari segi hubungan di antara Kesatuan Eropah dan ASEAN, Negara Brunei Darussalam akan memainkan peranan penting apabila dalam masa beberapa hari lagi, Brunei mengambil alih sebagai penyelaras hubungan di antara Kesatuan Eropah dan ASEAN untuk tempoh tiga tahun mendatang.

    Majlis kemudian menyaksikan Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi dan isteri serta TYT Bernard Regnauld-Fabre menyempurnakan pemotongan kek sempena Hari Kebangsaan Perancis.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi dan isteri serta TYT Bernard Regnauld-Fabre menyempurnakan pemotongan kek sempena Hari Kebangsaan Perancis. – GAMBAR OLEH JAMES KON
    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi dan Isteri serta TYT Bernard Regnauld-Fabre bergambar-ramai dengan perwakilan-perwakilan negara-negara sahabat di majlis berkenaan. – GAMBAR OLEH JAMES KON

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda