Friday, February 14, 2025
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hubungan Brunei, UK terus utuh

    Oleh Sim Y. H.

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 19 April – Negara Brunei Darussalam dan United Kingdom (UK) mempunyai hubungan kerjasama dua hala yang erat yang dipertingkatkan dari tahun ke tahun menerusi kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk pertahanan dan menerusi komitmen Brunei kepada inisiatif Queen’s Commonwealth Canopy (QCC).

    Inisiatif QCC berkenaan dilancarkan pada 2015 semasa Mesyuarat Ketua-ketua Kerajaan Komanwel di Malta di mana ia bermatlamat bagi kesemua 52 buah negara di bawah Komanwel untuk membantu melindungi habitat semula jadi terpenting di dunia iaitu hutan.

    Dalam hubungan itu, Negara Brunei Darussalam telah memberikan komitmen dan memperuntukan tiga hutan simpan berasingan untuk diletakkan di bawah inisiatif QCC iaitu Taman Rekreasi Hutan Berakas, Taman Negara Ulu Temburong dan Taman Rekreasi Hutan Pulau Selirong.

    Perkara itu dinyatakan oleh Pesuruhjaya Tinggi British ke Negara Brunei Darussalam, David Campbell dalam ucapannya di Majlis Sambutan Hari Puja Usia Ratu Elizabeth II di The Empire Hotel & Country Club, Jerudong, hari ini.

    Hadir di majlis berkenaan bagi mewakili kerajaan Negara Brunei Darussalam ialah Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Bahrin bin Abdullah serta isteri, Pengiran Datin Hajah Norsiah binti Pengiran Haji Hamdan. Turut hadir ialah perwakilan-perwakilan dari negara-negara sahabat, pegawai-pegawai kanan kerajaan serta para jemputan khas.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Bahrin dan David Campbell memotong kek bersempena Sambutan Puja Usia Ratu Elizabeth II di majlis berkenaan.
    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Bahrin dan David Campbell memotong kek bersempena Sambutan Puja Usia Ratu Elizabeth II di majlis berkenaan.

    David Campbell menambah bahawa hutan hujan Brunei bukan sahaja menjadi inspirasi bagi sebilangan besar artis, jurugambar dan pelukis British tetapi ia juga merupakan kawasan kajian yang penting bagi saintis British untuk menjalankan penyelidikan mereka bersama-sama saintis dari Brunei khususnya dalam kajian biodiversiti hutan hujan berkenaan.

    Pada masa yang sama, beliau amat menghargai segala usaha yang dilaksanakan oleh pihak sekolah dan organisasi tempatan dalam mendidik generasi muda Brunei untuk memahami serta menghargai khazanah hutan negara.

    Beliau juga menyatakan perasaan kagum atas penyertaan dan komitmen Brunei kepada inisiatif Nadi Borneo serta amat tertarik dengan perkembangan di Daerah Temburong yang menawarkan peluang terbaik untuk mengetengahkan komitmen Brunei kepada pembangunan hijau dan mapan.

    Di bidang pertahanan pula, David Campbell berkata bahawa Angkatan Bersenjata British amat bangga kerana dapat terus berkhidmat bersama dengan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei yang mana kedua-dua belah pihak kerap mengadakan latihan bersama serta melaksanakan tugas pertahanan di rantau Asia Pasifik.

    Majlis diteruskan dengan acara memotong kek yang disempurnakan bersama oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Bahrin dan David Campbell yang diikuti dengan penyampaian cenderahati kepada Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Bahrin dan isteri daripada David Campbell.

    Majlis yang membawa tema ‘Queen’s Commonwealth Canopy’ itu diserikan dengan pameran fotografi QCC yang mengetengahkan karya foto daripada jurugambar Bud Chapman, Stephen Hogg dan jurugambar tempatan, Dilshan Mahdi Hussainmiya yang menunjukkan keindahan di ketiga-tiga hutan simpanan Brunei di bawah inisiatif QCC.

    Selain daripada itu, pameran lukisan hutan Brunei turut diketengahkan semasa majlis berkenaan iaitu hasil daripada artis British, Jake Grewal dan artis-artis lain termasuk Fionnuala Boyd dan Les Evans.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda