Dua tahun bercinta, akhirnya pelakon Alya Iman mendedahkan dia sudah memutuskan hubungan dengan duda anak dua iaitu Ridhwan Rosli.
Hubungan masih kekal sebagai sahabat, Alya atau nama sebenarnya Nur Alya Iman Azmil berkata dia kini lebih selesa menjalani hidup seorang dengan hanya fokus pada kerjaya sahaja.
“Buat masa ini, saya tidak berteman dan saya tidak ada kena mengena dengan Ridhwan lagi. Tapi kami masih kekal bersahabat baik.
“Tapi saya ‘not available’ ya, bukan sebab dah ada orang baharu tapi saya mahu fokus karier seni dan tak ada pun rasa nak ada hubungan cinta.
“Saya dan Ridhwan berpisah sejak bulan puasa lalu. Bagi saya, hubungan kami masih sebagai sahabat… dan kalau ada jodoh, tak ke mana,” katanya kepada wartawan.
Sebelum ini, anak perempuan Allayarham Azmil yang cukup popular dengan filem Ali Setan itu didakwa bertunang dengan seorang ahli perniagaan yang berstatus suami orang.
Bagaimanapun, Alya memutuskan perhubungan dan ikatan pertunangan itu apabila kehadirannya di sisi lelaki berkenaan sebenarnya tidak diketahui dan dipersetujui oleh si isteri.
Selepas terpalit dengan kontroversi itu, Alya kemudian menjalinkan hubungan cinta dengan seorang duda anak dua iaitu Ridhwan Rosli sekitar 2020.
Gara-gara terpalit dengan kontroversi hubungan dengan suami orang, Alya menerima kecaman dan warganet menggelarnya ‘gold digger’ serta perampas.
“Sampai ke hari ini, orang masih cakap buruk tentang diri saya. Masih ada yang panggil saya dengan macam-macam gelaran.
“Tetapi saya tidak ada kuasa untuk menghalang orang cakap apa-apa tentang saya. Secara asasnya, sebagai selebriti saya kena terima apa saja warganet nak cakap.
“Saya terima dengan hati terbuka. Saya selalu cakap pada diri, benda dah jadi, setiap apa yang jadi, ada hikmah. Apa saja orang nak cakap mengenai saya, Insya-Allah saya terima,” ujarnya. – Agensi