MOSCOW, 20 MAC – Presiden Vladimir Putin hari ini berkata mengeratkan hubungan antara Rusia dan Afrika adalah matlamat utama Kremlin, ketika Moscow berusaha untuk mengembangkan pengaruhnya di benua itu.
Beliau menambah bahawa Rusia akan terus membekalkan benua itu dengan bijirin jika Moscow keluar dari perjanjian penting dengan Ukraine untuk membenarkan eksport dari pelabuhan Laut Hitam negara itu.
Moscow mencari hubungan politik, ekonomi dan ketenteraan yang lebih mendalam di Afrika dan Asia ketika Rusia semakin terasing di pentas antarabangsa berhubung konflik di Ukraine.
Rusia, pengeksport senjata utama ke Afrika, sedang menerokai benua itu termasuk melalui projek perlombongan yang diberikan kepada kumpulan separa tentera swasta, Wagner.
Turkiye mengumumkan hujung minggu ini pelanjutan perjanjian yang membenarkan Ukraine mengeksport bijirin berikutan serangan Rusia, tetapi Moscow berkata ia hanya bersetuju dengan lanjutan 60 hari, bukan 120 hari.
Putin berkata hari ini Rusia akan terus menghantar bijirin, tanpa mengira status perjanjian itu.
“Sekiranya kami memutuskan untuk tidak melanjutkan perjanjian ini selepas 60 hari, maka kami bersedia untuk membekalkan secara percuma jumlah yang dihantar ke negara yang paling memerlukan di Afrika,” katanya semasa berucap di televisyen.
Perjanjian yang diuruskan oleh Turkiye dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada Julai 2022 dan ditandatangani oleh Kyiv dan Moscow telah membenarkan laluan eksport yang selamat. Ia dilanjutkan selama 120 hari pada bulan November. – AFP
