Hubungan cinta pelakon Leonardo Di-Caprio, 47, dan Camila Morrone, 25, akhirnya terlerai meskipun sebelum ini dikhabarkan sangat serius.
Perpisahan itu disahkan sumber, namun, jurucakap pasangan ini enggan mengulas mengenai perkara itu, lapor agensi.
DiCaprio dan Morrone yang mula dikaitkan sejak 2018, sebelum ini, dilaporkan cukup berahsia mengenai hubungan mereka.
Bagaimanapun, DiCaprio dan Morrone membuat kemunculan ketika menghadiri Anugerah Akademi (Oscar) pada Februari 2020.
Dilaporkan, sumber memberitahu, pasangan itu, sebelum ini, cukup serius bercinta, malah, sudah bertemu ibu bapa masing-masing.

“Semestinya ini bukan hubungan kasual. Morrone banyak habiskan masanya di rumah Leo.
“Leo sudah lama memperkenalkan Morrone kepada ibu bapanya,” kata sumber berkenaan.
Pada Jun 2020, dilaporkan pasangan terbabit sukar berpisah dan meluangkan masa 24 jam bersama ketika perintah berkurung pandemik COVID dikuatkuasakan.
Julai lalu, foto DiCaprio dan Morrone dirakam ketika bercuti di pantai di Malibu, Amerika Syarikat (AS).
Terdahulu, Morrone dilapor menegaskan usia bukan faktor penghalang untuk bercinta dalam satu temubual.
“Ada banyak jenis hubungan di Hollywood.
“Dalam sejarah, ramai yang jarak usianya jauh, masih bercinta. Saya rasa semua ada hak untuk bercinta dengan siapa yang mereka mahu,” katanya. – Agensi