Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 JUN – Kekukuhan hubungan kerjasama dan persahabatan erat di antara Negara Brunei Darussalam dan Amerika Syarikat (AS) terus berkembang menerusi kerjasama erat dalam pelbagai bidang termasuk bidang perdagangan, pelaburan, pertahanan dan keselamatan.
“Pada tahun lepas, semasa kita meraikan Hari Kemerdekaan, kita juga meraikan satu mercu tanda istimewa iaitu 40 tahun hubungan diplomatik AS-Brunei.”, jelas Duta Besar Istimewa dan Mutlak AS ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Caryn McClelland dalam ucapan alu-aluannya di Majlis Sambutan Hari Kemerdekaan AS ke-249 yang berlangsung di Perkarangan Kedutaan AS di Negara Brunei Darussalam, Jalan Duta, kelmarin.
Hadir di majlis resepsi hari kemerdekaan berkenaan ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman.
Turut hadir di majlis berkenaan ialah pegawai-pegawai kanan kerajaan, eksekutif perniagaan, pemimpin persatuan sivil serta jemputan-jemputan khas.
Dalam ucapannya lagi, PYT Caryn McClelland menyatakan sepanjang tempoh empat dekad berkenaan, kedua-dua buah negara telah membina kerjasama yang kukuh di mana ia berakar-umbikan saling menghormati, kolaborasi dan matlamat bersama.
Hubungan AS dan Negara Brunei Darussalam telah terjalin untuk sekian lamanya dengan penandatanganan perjanjian dua hala, Treaty of Peace, Friendship, Commerce and Navigation pada 23 Jun 1850.
Perjanjian bersejarah itu menjadi asas bagi hubungan berkekalan di antara kedua-dua buah negara berkenaan.
Majlis itu mengetengahkan pelbagai hidangan barbeku klasik Amerika, muzik dan aktiviti yang meningkatkan semangat kemerdekaan dan patriotisme, dengan para jemputan berpeluang menikmati hidangan serta meraikan bersama jalinan persahabatan berkenaan.



