Saturday, October 5, 2024
22.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hubungan diplomatik Brunei-Jerman diperkukuh

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 4 OKT – Negara Brunei Darussalam dan Republik Persekutuan Jerman terus menikmati hubungan yang baik dan merupakan rakan kongsi yang
    boleh dipercayai kepada satu sama lain.

    Kedua-dua buah negara mempunyai pandangan yang serupa terhadap nilai perintah antarabangsa berasaskan peraturan, multilateralisme serta kepentingan perdagangan bebas.

    Kedua-dua buah negara turut menikmati kerjasama dua hala yang kukuh dalam pelbagai bidang termasuk perniagaan dan industri pertahanan yang terus dipertingkatkan.

    Perkara itu dinyatakan oleh Duta Besar Jerman ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Gerda Winkler ketika berucap di Majlis Resepsi Sambutan Ulang Tahun Penyatuan Jerman dan Ulang Tahun Penubuhan Hubungan Diplomatik antara Republik Persekutuan Jerman dan Negara Brunei Darussalam ke-40 yang berlangsung di Jerudong, kelmarin.

    Hadir mewakili kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada majlis berkenaan ialah Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha.

    PYT Gerda Winkler menyatakan bahawa dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kerjasama antara universiti-universiti di Brunei dan Jerman turut menyaksikan peningkatan dengan pelajar-pelajar Brunei berjaya melanjutkan pengajian mereka di Jerman.

    Namun begitu, jelasnya, masih terdapat ruang bagi kerjasama dalam bidang pendidikan untuk dikembangkan lagi.

    Beliau juga mengulas mengenai penubuhan Pusat ASEAN bagi Perubahan Iklim (ACCC) di Negara Brunei Darussalam di mana ia memberikan satu lagi peluang yang cemerlang untuk memupuk hubungan dua hala antara Kesatuan Eropah (EU) dan ASEAN dalam bidang berkenaan yang amat relevan.

    Majlis kemudian menyaksikan Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary dan PYT Gerda Winkler bersama-sama menyempurnakan pemotongan kek bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun Penyatuan Jerman dan Ulang Tahun Penubuhan Hubungan Diplomatik antara Jerman dan Negara Brunei Darussalam.

    Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary dan PYT Gerda Winkler bersama-sama menyempurnakan pemotongan kek. – GAMBAR OLEH JAMES KON
    Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary dan PYT Gerda Winkler bergambar ramai semasa majlis berkenaan. – GAMBAR OLEH JAMES KON

     

    GAMBAR OLEH JAMES KON

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda