Oleh Sim Y.H
Gambar serahan Kedutaan Kesultanan Oman di Negara Brunei Darussalam
Kesultanan Oman meraikan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Kesultanan Oman ke-51 tahun pada 18 November dan sempena acara yang bertuah ini, Duta Besar Istimewa dan Mutlak Kesultanan Oman ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Sheikh Ahmed bin Hashil Al-Maskari merafak sembah ucapan tahniah kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas kejayaan Brunei sebagai pengerusi ASEAN bagi 2021 khususnya pada masa yang mencabar ini.
Dalam perutusan sempena Ulang Tahun Hari Kebangsaan Kesultanan Oman, TYT Sheikh Ahmed berkata Brunei terus memainkan peranan yang penting sebagai pengerusi ASEAN dalam membantu rantau ini untuk melantun kembali daripada pandemik global dan menangani cabaran-cabaran lain yang dihadapi oleh ASEAN.
Beliau turut memuji pendekatan kerajaan Negara Brunei Darussalam dalam menangani gelombang kedua penularan COVID-19 serta dengan berkat kepimpinan yang bijaksana Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, beliau yakin Brunei akan mengatasi cabaran ini.
Dalam perutusan berkenaan lagi, TYT Sheikh Ahmed menyatakan bahawa pada 2021, Brunei Darussalam dan Kesultanan Oman menandakan ulang tahun penubuhan hubungan diplomatik ke-37 tahun di antara kedua-dua buah negara.
Hubungan diplomatik yang ditubuhkan pada 24 Mac 1984 telah menyaksikan kedua-dua buah negara menikmati hubungan dua hala yang stabil, sihat dan berkembang maju serta terus memperoleh pencapaian yang luar biasa.
Selain itu, Kesultanan Oman dan Negara Brunei Darussalam juga telah memeterai pelbagai perjanjian dan memorandum persefahaman dalam kerjasama pelbagai bidang.
Hubungan dua hala kedua-dua buah negara dibincangkan dan dikemaskinikan secara tetap oleh Kementerian Luar Kesultanan Oman dan Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri, Brunei Darussalam menerusi mesyuarat rundingan dua hala iaitu mekanisme yang telah ditubuhkan pada 1992 untuk mengukuhkan lagi hubungan dua hala kedua-dua buah negara.
Sehingga kini, sebanyak 20 mesyuarat telah mengambil tempat di mana ia diadakan berselang seli di antara dua buah ibu negara iaitu Bandar Seri Begawan di Brunei dan Muscat di Kesultanan Oman.
Walaupun berhadapan cabaran disebabkan oleh pandemik COVID-19, hubungan dua hala kedua-dua negara bersaudara berkenaan terus berkembang dan pada 11 Januari 2021, Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri, Brunei Darussalam dan Kesultanan Oman telah mengadakan Mesyuarat Perundingan Dua Hala Ke-20 melalui persidangan video.
Semasa mesyuarat berkenaan, kedua-dua belah pihak mengambil maklum dan bersetuju untuk mengukuhkan lagi kerjasama dua hala yang sedia ada di antara Kesultanan Oman dan Brunei Darussalam dalam pelbagai bidang termasuk perdagangan dan pelaburan, tenaga, pertanian dan perikanan, pendidikan tinggi, pelancongan, kesihatan, pertahanan dan pertukaran rakyat kedua-dua buah negara.
Kerjasama kebudayaan merupakan satu dimensi kukuh dalam hubungan Oman-Brunei di mana Oman telah menyertai secara kerap dalam Pesta Buku Brunei Antarabangsa dan Brunei pula telah mengambil bahagian dalam Pesta Buku Muscat dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Baru-baru ini, Kementerian Pendidikan, Kesultanan Oman dan Kementerian Hal Ehwal Ugama, Brunei Darussalam telah menubuhkan kerjasama dalam bidang pengajaran dan pembelajaran Bahasa Arab, yang telah menyaksikan beberapa inisiatif yang memberangsangkan untuk mengukuhkan lagi pengajaran dan pembelajaran Bahasa Arab di Negara Brunei Darussalam.
Sementara itu, sebagai usaha Kedutaan Kesultanan Oman untuk memupuk hubungan dengan rakyat Brunei dalam rangka kerja diplomasi awam yang merupakan alat yang efektif untuk membantu menjana persepsi orang ramai mengenai negara dan budaya masing-masing, kedutaan berkenaan menerusi amalan tahunan mengalu-alukan kumpulan
pelajar dari sekolah-sekolah kerajaan tempatan untuk melawat premis kedutaan.
Dalam bidang sukan, kedua-dua buah negara juga meningkatkan kerjasama yang amat memberangsangkan di mana pada April 2021, Persatuan Bola Sepak Kebangsaan Brunei Darussalam (NFABD) dan Persatuan Bola Sepak Oman telah memeterai memorandum persefahaman yang merangkumi kerjasama dalam bidang yang luar termasuk mengadakan lebih banyak pertukaran di antara kedua-dua buah persatuan bola sepak berkenaan serta menghoskan perlawanan-perlawanan persahabatan.
Dalam usaha untuk meningkatkan lagi kerjasama perdagangan dan pelaburan di antara kedua-dua buah negara ke tahap yang lebih tinggi, Negara Brunei Darussalam telah memeterai perjanjian dengan Oman pada April 2009 untuk menubuhkan sebuah dana pelaburan AS$100 juta yang dikongsi di antara kedua-dua buah negara yang berpangkalan di ibu negara Oman, Muscat di mana perjanjian itu menyaksikan penubuhan, Syarikat Pelaburan Oman Brunei (OBIC).
OBIC melabur dalam ekuiti swasta sektor-sektor berkembang tinggi menerusi perolehan atau dengan melabur dalam syarikat-syarikat yang sedia ada atau memulakan projek-projek baharu.