Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Ogos – Negara Brunei Darussalam dan Republik Singapura terus mengeratkan hubungan dua hala melalui pertukaran lawatan, dialog, mesyuarat, latihan tentera, kursus, pameran pertahanan dan pelbagai program interaksi serta pembangunan.
Dalam hubungan itu, Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof telah menerima kunjungan hormat perkenalan Ketua Turus Pertahanan Angkatan Bersenjata Republik Singapura, Leftenan Jeneral Melvyn Ong.
Semasa kunjungan itu, Menteri Pertahanan II turut menyampaikan ucapan tahniah atas pelantikan Leftenan Jeneral Melvyn Ong yang berada di negara ini dari 28 hingga 30 Ogos untuk kunjungan pengenalan dan berharap hubungan baik di antara kedua-dua negara akan terus terjalin.
Sejurus tiba di Bolkiah Garison pagi tadi, Leftenan Jeneral Melvyn Ong disambut dengan perbarisan kawalan kehormatan yang terdiri daripada anggota Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB).


Leftenan Jeneral Melvyn Ong juga mengadakan kunjungan muhibah kepada Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Mejar Jeneral Pengiran Dato Paduka Seri Aminan bin Pengiran Haji Mahmud.
Kedua-dua angkatan tentera berinteraksi secara kerap menerusi latihan dua hala dan juga pelbagai hala, pertukaran profesional dan kursus, yang mana telah meningkatkan profesionalisme dan interoperability antara angkatan tentera.
Leftenan Jeneral Melvyn Ong telah dilantik menjadi Ketua Turus Pertahanan pada 23 Mac 2018. Sebelum ini, beliau merupakan Panglima Tentera Darat Singapura.