Friday, April 26, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    Hubungan erat bawa banyak kebaikan

    KUCHING, 15 MEI – Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud berkata hubungan erat antara kerajaan Sarawak dan kerajaan Malaysia akan terus membawa banyak kebaikan kepada rakyat.

    “Saya gembira dengan sokongan kerajaan Sarawak, Kerajaan Perpaduan telah dapat dibentuk. Insya-Allah, kerajaan yang stabil pasti dapat membawa kemakmuran kepada rakyat.

    “Saya berharap Kerajaan Perpaduan dapat segera menyelesaikan tuntutan Sarawak selaras Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Laporan IGC (Jawatankuasa Antara Kerajaan), Perlembagaan Sarawak dan Perlembagaan Persekutuan,” kata beliau yang yakin Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat membangunkan Malaysia dengan lebih cemerlang.

    Berucap pada majlis pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-19 hari ini, beliau berkata, di peringkat negeri, kepimpinan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg telah memperkenalkan inisiatif pembangunan strategik untuk melonjakkan ekonomi Sarawak.

    Tun Abdul Taib berkata, ekonomi baharu berasaskan teknologi hijau juga telah menarik banyak pelaburan ke Sarawak selain dapat membantu menjaga dan memelihara alam sekitar.

    “Perniagaan karbon dan penyelidikan oleh Sarawak Biodiversity Centre telah menghasilkan sumber ekonomi baharu yang akan menggandakan bukan sahaja pendapatan Sarawak tetapi bakat anak-anak Sarawak khusus dalam bidang perkhidmatan dan kesihatan.

    “Sarawak mengamalkan ekonomi terbuka, banyak peluang perniagaan dan pekerjaan berkualiti disediakan. Saya menyeru rakyat terutama golongan muda untuk meningkatkan ilmu dan kemahiran,” katanya.

    Beliau berkata, hak rakyat juga akan sentiasa dipelihara sama ada dalam bidang politik, ekonomi mahupun sosial yang dilihat menjadi tonggak perpaduan dan toleransi kaum. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Rundingan AS-China bermula dengan amaran tentang salah faham dan salah perhitungan

    BEIJING, 26 APRIL - Amerika Syarikat dan China bertelagah mengenai beberapa isu dua hala, serantau dan global yang menjadi perbalahan ketika Setiausaha Negara Amerika...