SINGAPURA, 31 Julai – Penangguhan Projek Rel Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura dan kajian semua Perjanjian Air 1962 tidak merencatkan hubungan dua hala antara Malaysia dan Singapura, kata Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah.
Sebaliknya, katanya kedua-dua kerajaan melihat isu HSR dan perjanjian air perlu ditangani tetapi tidak seharusnya mengganggu gugat hubungan baik dua hala yang sedia ada.
Malah kedua-dua kerajaan mahu mempertingkatkan hubungan dua hala kedua-dua negara, katanya kepada Bernama pada lawatan rasmi pertama ke negara ini atas jemputan rakan sejawatannya, Dr Vivian Balakrishnan.
Kunjungan tersebut adalah sebahagian daripada siri lawatan suai kenal Saifuddin selepas dilantik sebagai Menteri Luar baharu pada 2 Julai lalu.
Saifuddin, yang tiba hari ini untuk lawatan rasmi dua hari, diiringi pegawai-pegawai kanan Wisma Putra selepas jamuan tengah hari dihoskan Dr Balakrishnan, Saifuddin mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Singapura Halimah Yacob dan Perdana Menteri Lee Hsien Loong.
Menurut Saifuddin, projek HSR dan perjanjian air telah dibangkitkan semasa pertemuan dengan Lee dan Dr Balakrishnan.
“Saya memberi penjelasan sebaik mungkin mengenai kedua-dua isu tersebut.
“Kami melihat gambaran yang lebih besar…bagi hubungan bilateral, ia masih kukuh dan kami mahu bekerja keras untuk membawanya ke tahap lebih tinggi,” katanya – Bernama