Khamis, November 20, 2025
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hubungan kerjasama cerminkan semangat muafakat

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 3 NOV – Hubungan silaturahim antara Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) melalui Pusat Dakwah Islamiah (PDI) dan masyarakat Tionghua di Negara Brunei Darussalam terus diperkukuhkan melalui penganjuran Majlis Dialog Harmoni Kefahaman Islam sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad SAW 1447 Hijrah/2025 Masihi.

    Pengarah PDI, Haji Abdul Rajid bin Haji Mohd Salleh, dalam ucapan alu-aluannya menegaskan bahawa majlis berkenaan diungkayahkan bagi memperingati Sambutan Maulud Nabi Muhammad SAW bertemakan Rasulullah SAW Teladan Keluarga Sakinah, Mawaddah Warahmah.

    Beliau menjelaskan, majlis berkenaan dihasratkan untuk memberikan maklumat yang sahih mengenai nilai-nilai murni Islam berkaitan kemasyarakatan dan akhlak.

    Dalam ucapannya, beliau turut menyatakan bahawa seramai hampir 100 orang peserta hadir pada majlis berkenaan yang terdiri daripada pelbagai pertubuhan dan persatuan masyarakat Tionghua serta wakil-wakil daripada sektor swasta dan pelancongan.

    Majlis turut menampilkan dua taklimat utama, iaitu Kefahaman Keluarga Islam disampaikan oleh Awang Abdul Mu’iid bin Hariel dari Bahagian Khidmat Nasihat Keluarga, Jabatan Hal Ehwal Syariah; dan Pemakanan Halal oleh Pengiran Mohammad Zainulariffin bin Pengiran Mohammad Hassan dari Bahagian Pemakanan Halal, Jabatan Hal Ehwal Syariah.

    Para peserta turut berpeluang mengunjungi Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah bagi menambah ilmu dan memahami keindahan seni warisan keagamaan serta kebudayaan Islam di negara ini.

    Menurut Haji Abdul Rajid lagi, hubungan kerjasama dengan masyarakat Tionghua bukanlah sesuatu yang baharu, malah telah terjalin sejak sekian lama melalui pelbagai program bersama seperti Seminar Kefahaman Melayu Islam Beraja, Iftar Mahabbah Ramadhan, Program Muhibah Dakwah, dan Jelajah Mualaf, yang semuanya mencerminkan semangat muafakat serta saling hormat-menghormati.

    Beliau menegaskan bahawa sejak penubuhannya pada tahun 1985, PDI sentiasa menyediakan pelbagai platform untuk menyalurkan ilmu dan maklumat yang sahih mengenai Islam bagi memperkukuh keharmonian masyarakat majmuk di Negara Brunei Darussalam.

    Haji Abdul Rajid menyampaikan ucapan alu-aluannya semasa majlis berkenaan. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda