Sabtu, 22 November 2025
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hubungan ketenteraan Brunei, China terus erat

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 OGOS – Negara Brunei Darussalam dan Republik Rakyat China mempunyai hubungan persahabatan dan kerjasama dua hala serta hubungan tentera yang mesra kedua-dua buah negara terus dieratkan.

    Perkara itu dinyatakan oleh Atase Pertahanan Kedutaan Republik Rakyat China ke Negara Brunei Darussalam, Kolonel Kanan Dai Qilin dalam kata alu-aluannya di Majlis Resepsi Ulang Tahun Penubuhan Tentera Pembebasan Rakyat China Ke-98 yang berlangsung di Serambi Suluh Hall, Tarindak D’ Seni, kelmarin.

    Hadir di majlis berkenaan ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof dan isteri, Datin Hajah Kalshom binti Haji Suhaili serta Duta Republik Rakyat China ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Xiao Jianguo.

    Turut hadir ialah Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid dan Datin Fadzlin binti Hashim; Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan dan perwakilan-perwakilan dari negara-negara sahabat serta pegawai-pegawai kanan kerajaan serta jemputan khas.

    Kolonel Kanan Dai Qilin dalam kata alu-aluannya menyatakan bahawa pada Februari lalu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan berangkat bagi lawatan negara ke China serta berkenan mengadakan perjumpaan dua hala dengan Presiden Republik Rakyat China, Tuan Yang Terutama Xi Jinping di mana kedua-dua orang pemimpin bertukar-tukar pandangan hubungan dua hala serta isu-isu serantau dan antarabangsa berkepentingan bersama.

    Beliau menerangkan bahawa dalam kenyataan bersama, kedua-dua belah pihak mengambil maklum akan kepentingan Joint Defence Working Committee (JDWC) sebagai sebuah platform untuk meningkatkan pertukaran dan kerjasama dalam latihan dan eksais bersama, latihan kakitangan, pengaman antarabangsa serta kolaborasi antara institusi dan badan pemikir.

    “Usaha ini adalah pragmatik dan melengkapkan mekanisme Mesyuarat Menteri-menteri Pertahanan ASEAN Plus (ADMM-Plus), bertujuan untuk menyatukan sikap saling percaya strategik dan menjaga keamanan dan kestabilan serantau dan antarabangsa.’’

    Beliau menambah bahawa pihaknya akan terus bekerjasama dengan rakan sejawat Brunei untuk melaksanakan secara aktif konsensus pemimpin kedua-dua buah negara, terus mempromosikan pertukaran peringkat tinggi di antara tentera kedua-dua buah negara serta secara aktif mengembangkan bidang kerjasama.

    Majlis diteruskan dengan acara memotong kek ulang tahun yang disempurnakan bersama oleh YB Pehin Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi, Tuan Yang Terutama Xiao Jianguo dan Kolonel Kanan Dai Qilin.

    Antara yang menghadiri majlis resepsi berkenaan.
    YB Pehin Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi, TYT Xiao Jianguo, YB Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda, Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi serta Kolonel Kanan Dai Qilin bergambar ramai.
    YB Pehin Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi menerima cenderhati yang disampaikan oleh TYT Xiao Jianguo.
    YB Pehin Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi, TYT Xiao Jianguo (kanan) dan Kolonel Kanan Dai Qilin (kiri) bersama-sama memotong kek ulang tahun Penubuhan Tentera Pembebasan Rakyat China Ke-98.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda