Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 7 FEB – Hubungan komersial dan warga Negara Brunei Darussalam dan Hong Kong terus mantap dengan jumlah perdagangan barangan dua hala pada 2023 adalah sebanyak AS$67 juta yang menunjukkan kadar pertumbuhan purata tahunan melebihi 11 peratus sejak 2019.
Di samping itu, pertukaran peringkat tinggi juga kekal aktif, jelas Ketua Pengarah Pejabat Ekonomi dan Perdagangan Hong Kong, Jakarta (HKETO Jakarta), Libera Cheng dalam ucapan alu-aluannya dalam Majlis Makan Malam Tahun Baharu Cina yang berlangsung di Hotel Radisson, Bandar Seri Begawan, kelmarin.
Majlis yang dihoskan oleh HKETO Jakarta bagi meraikan Tahun Ular itu dihadiri kira-kira 150 orang jemputan yang terdiri daripada pegawai-pegawai dari sektor kerajaan, perniagaan, akademik dan media.
Hadir pada majlis berkenaan ialah Charge d’Affaires Kedutaan Republik Rakyat China di Negara Brunei Darussalam, Wang Haitao, mantan Konsul-Agung Brunei di Hong Kong, Hajah Ainatol Zahayu Mohamad dan Pengarah Malaysia, Majlis Kemajuan Perdagangan Hong Kong, Hoh Jee Eng.
Turut hadir, Presiden Persatuan Undang-undang, Haji Muhammad Zainidi bin Haji Abdul Hamid; Setiausaha Agung Dewan Perdagangan dan Industri Kebangsaan Brunei Darussalam, Haji Abdul Halim bin Haji Saim; Presiden Persekutuan Perdagangan Hong Kong-Malaysia, Dato’ Dixon Chew; serta wakil-wakil kanan dari dewan-dewan perniagaan tempatan.
Dalam ucapan alu-aluannya lagi, Libera Cheng turut menyatakan dengan penubuhan Hong Kong Legal International Talents Training Academy pada November 2024, pihaknya mengalu-alukan bakat-bakat perundangan daripada negara-negara Jalur dan Laluan termasuk Brunei untuk memanfaatkan platform berkenaan bagi mendalami pertukaran dengan Hong Kong dan bidang kuasa yang lain.
Beliau turut memperkenalkan langkah-langkah di bawah 2024 Policy Address bagi mengukuhkan hubungan warga ke warga di antara Hong Kong dan ASEAN seperti memupuk persekitaran pelancongan mesra Muslim dan menyediakan pelepasan imigresen layan diri untuk orang jemputan dari negara-negara ASEAN.
Libera Cheng turut menyatakan bahawa pihaknya akan terus mengekalkan hubungan rapat dengan negara-negara ASEAN termasuk Brunei untuk memudahkan aliran dua hala warga mereka.
HKETO Jakarta akan terus menghoskan acara-acara di negara-negara ASEAN di bawah bidang kuasanya untuk meraikan Tahun Baharu Cina pada minggu-minggu yang mendatang.