Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 21 FEB – Sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Kuwait ke-64 dan Sambutan Hari Pembebasan Kuwait ke-34, Kedutaan Besar Kuwait di Negara Brunei Darussalam telah mengadakan Majlis Resepsi Makan Malam di Royal Berkshire Hall, Royal Brunei Polo & Riding Club, Jerudong, kelmarin.
Hadir pada majlis tersebut ialah Timbalan Menteri (Tenaga) di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Dato Seri Paduka Haji Mohammad Azmi bin Haji Mohammad Hanifah; selaku wakil kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.
Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu kebangsaan Negara Brunei Darussalam dan Kuwait.
Seterusnya Charge d’Affaires ad interim Kuwait, Khaled Al Farhan, menyampaikan ucapan diikuti penyampaian cenderamata kepada Dato Seri Paduka Haji Mohammad Azmi.
Dalam ucapan, Khaled Al Farhan berkata, “Hubungan dua hala antara Negara Kuwait dan Brunei Darussalam terus berkembang dengan mantap, disokong oleh pertukaran lawatan peringkat tinggi. Kedua-dua negara berjaya mewujudkan asas yang kukuh untuk kerjasama pada masa depan dalam banyak bidang kepentingan bersama, terutamanya melalui pemeteraian pelbagai perjanjian semasa lawatan negara kedua-dua pemimpin negara.
“Saya yakin di bawah bimbingan dan sokongan kepimpinan bijaksana kedua-dua negara, kedua-dua kerajaan akan terus didorong untuk memperkukuhkan hubungan persahabatan dan mencapai kerjasama yang konkrit dalam semua bidang kepentingan bersama.
“Dalam konteks ini, Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (LKEB) dijangka mengadakan lawatan rasmi ke Negara Kuwait untuk berbincang dengan rakan sejawat Kuwait, iaitu Autoriti Pelaburan Kuwait dan Dewan Perniagaan & Industri Kuwait, serta meneroka peluang-peluang pelaburan bersama di kedua-dua negara,” tambah beliau.
Selain itu, beliau menekankan bahawa Mesyuarat ke-4 Jawatankuasa Bersama Kuwait-Brunei mengenai Kerjasama Ekonomi dan Teknikal dijadualkan diadakan dalam masa terdekat, di mana agenda mesyuarat dijangka meliputi pelbagai sektor termasuk ekonomi, perdagangan, pelaburan serta penglibatan sektor swasta.
Hubungan dua hala juga semakin meningkat dalam pertukaran budaya dan hubungan rakyat ke rakyat, terutamanya penyertaan Brunei dalam Hadiah Antarabangsa Kuwait ke-13 untuk Al-Quran Al-Karim serta penyertaan Negara Kuwait dalam Kejuaraan Wusyu Junior Dunia ke-9 2024 yang dianjurkan di Brunei Darussalam.
Acara seterusnya menyaksikan Dato Seri Paduka Haji Mohammad Azmi dan Khaled Al Farhan berserta wakil-wakil Majlis Kerjasama Negara-negara Arab Teluk (GCC) memotong kek Ulang Tahun Hari Kebangsaan Kuwait.