Selepas isu rumah tangga hangat diperkatakan ramai, hubungan pengacara Fikry Ibrahim dan isteri, Siti Khalizah Alihan dilihat kembali pulih.
Berkongsi gambar berpegangan tangan, Khalizah juga memberi bayangan sudah tiada masalah yang berlaku.
Dia juga berterima kasih kerana ramai yang mendoakan kebahagiaan mereka.
“Terima kasih yang mendoakan kebahagiaan kami,” katanya ringkas.
Khalizah menulis ucapan itu dalam satu hantaran yang dimuat naik di Instagram pada malam kelmarin.
Meskipun tidak menunjukkan wajah, namun dipercayai tangan yang dipegang erat itu adalah Fikry.
Khalizah juga turut menulis nama suaminya itu pada ruangan kapsyen.
Menerusi ruangan komen, rata-rata mengharapkan perkahwinan pasangan ini kekal bahagia.
Malah ada yang juga yang mula mengusik mendakwa punca Khalizah memfailkan cerai pada Mei lalu disebabkan merajuk.
“Semoga kekal hingga ke syurga; Kes merajuk je ni. Suami yang baik akan pujuk balik; Biasalah wanita, kita semua bayi yang tak pernah membesar; Terlalu ikut emosi sangat, terus nak minta cerai. Bahaya,” antara komen warganet.
Kemelut rumah tangga Fikry dan Khalizah bagaikan ‘plot twist’ apabila pengacara itu menegaskan mereka bahagia selepas isterinya itu hadir ke Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur pada pagi kelmarin.
Kata Fikry tujuan isterinya ke sana adalah untuk membatalkan permohonan cerai yang telah dibuat pada Mei lalu.
Ketika mengendalikan rancangan Melodi yang bersiaran secara langsung, dia juga menafikan dakwaan akan bercerai sebaliknya akan terus mempertahankan rumah tangga yang dibina.
Bagaimanapun Fikry Ketika ditemui usai program itu enggan mengulas lanjut apabila bertemu media yang sudah menunggu awal di Balai Berita, Bangsar, Kuala Lumpur.
Untuk rekod, Fikry dan Khalizah berkahwin pada 12 Februari lalu dalam sebuah majlis tertutup yang hanya dihadiri ahli keluarga dan kenalan rapat. – Agensi
