Pelakon sensasi, Puteri Sarah Liyana, 38, berkongsi kenyataan beberapa individu yang mempertikaikan kerancakannya menjalani tugasan sebagai selebriti, biarpun masih dalam tempoh edah selepas bercerai talak satu dengan pengarah kontroversi, Syamsul Yusof pada 14 Jun lalu.
Bagaimanapun, finalis kategori Aktres TV Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) ke-35 itu berkata, selepas meneliti bacaan mengenai tempoh edah, dia akhirnya memahami bahawa tidak menjadi masalah sekiranya keluar untuk memenuhi tuntutan kerja.
“Saya memang dalam tempoh edah, tetapi saya sendiri ada membuat bacaan mengenainya. Kalau suami meninggal dunia, barulah isteri perlu berkabung dan tidak boleh keluar rumah dan berhias.
“Macam saya, apa yang dilakukan ketika ini adalah tuntutan kerja.
“Situasi saya pula adalah tempoh edah bagi wanita yang bercerai. Dalam masa tiga bulan, saya kena maklumkan kepada bekas suami sekiranya perlu keluar bekerja.

“Syamsul tahu saya bekerja, malah ketika ke Jakarta, bagi urusan kerja pun dia tahu,” katanya ditemui pada majlis pengumuman prakemuncak ABPBH 35 di The Agam, Jalan Sungai Penchala pada Selasa lalu.
Terdahulu, Puteri Sarah dan Syamsul bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada 14 Jun lalu.
Lafaz cerai dilakukan di hadapan Hakim Syarie, Akmalluddin Ilyas selepas mahkamah membenarkan permohonan cerai difailkan Puteri Sarah mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.
Sementara itu, Puteri Sarah berkata, dia kini sudah selesa menjalani kehidupan baharu, malah mengakui hubungan Syamsul dan anak-anak semakin erat.
“Ketika ini, saya sudah menjalani kehidupan baharu dan anak-anak pun sebenarnya dalam keadaan baik,” tambahnya. – Agensi

