Khamis, November 20, 2025
28.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hubungan seorang lelaki dengan anak hasil perbuatan zinanya

    (Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

    Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan

    Zina merupakan satu maksiat yang sangat keji dan sangat besar kemudharatannya. Ia bukan sahaja mendatangkan dosa dan aib ke atas pasangan yang berzina, bahkan seluruh keluarga akan turut sama menanggung malu apatah lagi buat ibu bapa yang pastinya merasa sangat sedih dan kecewa atas musibah besar yang menimpa itu. Lebih menyedihkan lagi, kesannya akan turut sama ditanggung oleh anak yang tidak berdosa yang terhasil daripada perbuatan terlarang itu.

    Dalam perzinaan yang menghasilkan anak, status ibu tidak menjadi persoalan kerana anak tersebut tetap sahaja bersambung nasab kepada ibu yang melahirkannya walau dalam apa jua keadaan sekalipun.

    Apa yang menjadi kemusykilan dalam perkara ini ialah status hubungan antara lelaki dengan anak yang terhasil daripada hubungan zinanya. Adakah lelaki itu diiktiraf sebagai bapa dan disabitkan nasab kepadanya? Adakah ada kaitan mahram antara keduanya?

    Adakah sentuhan antara keduanya menjejaskan wudhu’? Adakah dia boleh menjadi wali nikah kepada anak tersebut? Keluaran kali ini akan merungkai segala persoalan tersebut.

    Hubungan lelaki dengan anak hasil perbuatan zinanya, boleh dibahagikan kepada dua keadaan, iaitu sama ada dia mengahwini perempuan yang hamil kerana perbuatan zina itu atau dia tidak mengahwininya.

    Gambar Freepik

    PASANGAN ZINA TIDAK BERNIKAH

    Sekiranya pasangan yang berzina itu tidak bernikah, lalu perempuan itu melahirkan anak hasil daripada perbuatan zina mereka itu, maka hubungan antara lelaki dengan anak tersebut adalah sepertimana yang disebutkan di bawah ini:

    (i) Permasalahan Nasab

    Anak yang lahir itu tidak bersambung nasab dengan lelaki berkenaan dan tidak juga bersambung nasab dengan mana-mana lelaki sekalipun. Anak tersebut juga tidak ada apa-apa kaitan mahram dengan lelaki yang telah berzina dengan ibunya itu.

    Anak seumpama ini adalah anak yang dinamakan anak tidak sah taraf, iaitu anak yang tidak mempunyai bapa pada pengertian syara‘.

    Dalam Islam, haram hukumnya menasabkan mana-mana anak kepada seseorang yang tidak bersambung nasab dengannya dan ia adalah suatu perbuatan dusta terhadap nasab anak tersebut.

    Dalam kedudukan anak tidak sah taraf atau anak yang terhasil daripada perbuatan zina, anak tersebut hanya dinasabkan kepada ibu kandungnya. Walau bagaimanapun, anak tersebut juga harus dibinkan atau dibintikan kepada nama-nama seperti Abdullah atau nama-nama lain daripada al-Asma al-Husna dengan menambahkan ‘Abdul di pangkalnya seperti ‘Abdurrahman, ‘Abdurrahim, ‘Abdulmalik dan sebagainya yang tidak membawa kekeliruan atau kesamaran pada nasabnya.

    Sa‘ad bin Abu Waqqash Radhiallahu ‘anhu berkata bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda yang maksudnya:

    Sesiapa mendakwa (mengaku) dalam Islam orang lain sebagai bapanya (sedangkan) dia mengetahui bahawa orang itu bukan bapanya, maka syurga adalah haram baginya. (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

    Jelas sekali di sini bahawa mendustakan nasab dengan cara merahsiakan atau mengubah nasabnya yang sebenar ataupun menghalalkan perbuatan tersebut adalah haram dan boleh menyebabkan berdosa dan rosak aqidah.

    Perbuatan seumpama ini sangat besar impaknya kerana ia membabitkan hukum-hakam yang lain seperti batas aurat, pergaulan, khalwat, wudhu’, wali dalam pernikahan dan sebagainya.

    Dari itu, wajib hukumnya menasabkan dengan betul supaya tidak berlaku kesamaran dan kekeliruan yang boleh menyebabkan berlakunya perkara-perkara yang bertentangan dengan hukum-hukum Islam.

    (ii) Permasalahan Wudhu’

    Lelaki yang melakukan zina dengan perempuan sehingga perempuan itu hamil lalu melahirkan anak, dan lelaki itu tidak mengahwini perempuan itu, maka dia tidak ada apa-apa kaitan mahram dengan anak dari hasil perbuatan zinanya bersama perempuan itu.

    Dari itu, sekiranya anak yang lahir dari hasil perzinaan itu adalah anak perempuan, maka wudhu’ keduanya yakni wudhu’ anak perempuan dengan lelaki yang telah berzina dengan ibu anak tersebut kedua-duanya batal sekiranya berlaku persentuhan kulit antara mereka.

    (iii) Permasalahan Wali Nikah

    Memandangkan lelaki itu tidak bersambung nasab dengan anak yang terhasil daripada perhubungan zinanya dan tidak diiktiraf sebagai bapanya dan tidak juga ada apa-apa kaitan mahram dengannya, maka dengan sendirinya dia tidak boleh mewalikan anak hasil perzinaannya itu. Bahkan anak tersebut diwalikan oleh wali hakim.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda