Khamis, November 20, 2025
28.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hubungan seorang lelaki dengan anak hasil perbuatan zinanya

    Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan

    Sambungan minggu lepas…

    PASANGAN ZINA BERNIKAH SEBELUM PEREMPUAN YANG HAMIL DARIPADA PERBUATAN ZINA ITU MELAHIRKAN

    Sekiranya pasangan yang berzina itu bernikah sebelum perempuan yang hamil daripada zina itu melahirkan, maka keadaan ini terbahagi kepada dua keadaan iaitu:

    (a) Perempuan itu melahirkan kandungannya selepas enam bulan dari tarikh mereka bersatu dalam akad nikah yang sah.

    (b) Perempuan itu melahirkan kandungannya sebelum enam bulan dari tarikh mereka bersatu dalam akad nikah yang sah.

    Dua keadaan ini mempunyai kesan tersendiri terhadap hubungan antara lelaki tersebut dengan anak hasil perbuatan zinanya. Penjelasannya adalah seperti berikut:

    Gambar Canva

    (i) Permasalahan Nasab

    (a) Sekiranya perempuan itu melahirkan kandungannya selepas enam bulan dari tarikh mereka bersatu dalam akad nikah yang sah, maka anak tersebut disabitkan nasabnya kepada lelaki yang bernikah dengan ibunya itu dan dibinkan atau dibintikan kepadanya.

    (b) Bagaimanapun, dalam hal yang kedua pula, iaitu perempuan itu melahirkan kandungannya sebelum enam bulan dari tarikh mereka bersatu dalam akad nikah yang sah, maka anak itu tidak dinasabkan kepada lelaki yang bernikah dengan ibunya dan haram hukumnya berbuat demikian. Bahkan anak tersebut hanya dinasabkan kepada ibunya sahaja atau kepada nama Abdullah atau salah satu dari al-Asma al-Husna sepertimana kedudukan anak tidak sah taraf yang telah disebutkan sebelum ini.

    Walaupun demikian, dalam kedua-dua keadaan ini, anak yang dilahirkan itu tetap menjadi mahram kepada suami ibunya kerana mereka bernikah menjadi suami isteri dan melakukan jima‘. Ini berdasarkan firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala dalam surah an-Nisa’ ayat 23 yang tafsirnya:

    Diharamkan ke atas kamu (berkahwin dengan) ibu-ibu kamu (termasuk nenek iaitu ibu bagi bapa dan ibu bagi ibu hingga ke atas), dan anak-anak perempuan kamu (termasuk cucu-cucu perempuan hingga ke bawah), dan adik-beradik perempuan kamu (seibu sebapa atau sebapa atau seibu), dan ibu-ibu saudara kamu sebelah bapa, ibu-ibu saudara kamu sebelah ibu, dan anak-anak perempuan bagi adik-beradik lelaki (hingga ke bawah) dan anak-anak perempuan bagi adik-beradik perempuan (hingga ke bawah) dan ibu-ibu kamu yang menyusukan kamu (ibu susuan) dan adik-beradik perempuan kamu yang sesusuan (termasuk anak-anak perempuan bagi adik-beradik lelaki dan adik-beradik perempuan dari ibu susuan), dan ibu-ibu kepada isteri-isteri kamu (ibu mertua termasuk nenek perempuannya), dan anak-anak tiri kamu yang dalam pemeliharaan kamu daripada isteri-isteri yang telah kamu campuri (termasuk cucu dan setiap yang menjadi keturunan kepadanya), tetapi sekiranya kamu belum mencampuri mereka (isteri kamu) itu (dan kamu telah pun menceraikan mereka) maka tidaklah menjadi salah ke atas kamu (berkahwin dengan mereka). (Surah an-Nisa’: 23)

    Adapun perkiraan tempoh enam bulan itu adalah berdasarkan ‘ijma ulama yang mengatakan bahawa tempoh minima seseorang wanita itu hamil dan melahirkan anak ialah enam bulan qamariah.

    Bagi tujuan penetapan nasab, hendaklah anak tersebut lahir tidak kurang daripada enam bulan qamariah dan dua lahzhah, iaitu satu lahzhah untuk jima‘ dan satu lahzhah lagi untuk melahirkan. Pengiraan ini bermula dari waktu suami-isteri itu boleh bersatu (jima‘) setelah mempunyai aqad nikah yang sah sehinggalah anak tersebut dilahirkan.

    (ii) Permasalahan Wudhu’

    Dalam kedua-dua keadaan ini, iaitu sama ada perempuan itu melahirkan kandungannya selepas enam bulan dari tarikh mereka bersatu dalam akad nikah yang sah atau sebelumnya, anak tersebut tetap menjadi mahram kepada suami ibunya kerana mereka bernikah menjadi suami isteri dan melakukan jima‘. Oleh itu wudhu’ tidak batal sekiranya berlaku sentuhan antara suami ibunya dengan anak tersebut.

    (iii) Permasalahan Wali Nikah

    (a) Sekiranya perempuan itu melahirkan kandungannya selepas enam bulan dari tarikh mereka bersatu dalam akad nikah yang sah, maka anak tersebut disabitkan nasabnya kepada lelaki yang bernikah dengan ibunya dan disabitkan dia sebagai bapa kepada anak tersebut. Dengan ini, berjalanlah segala hukum-hakam nasab ke atasnya dan sah dia menjadi wali nikah bagi anak tersebut.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda