Sambungan minggu lepas…
(b) Bagaimanapun, dalam hal yang kedua pula, iaitu perempuan itu melahirkan kandungannya sebelum enam bulan dari tarikh mereka bersatu dalam akad nikah yang sah, maka anak itu tidak dinasabkan kepada lelaki yang nikah dengan ibunya itu dan haram hukumnya berbuat demikian. Oleh itu, haram dan tidak sah dia menjadi wali nikah kepada anak tersebut.
PASANGAN ZINA BERNIKAH SELEPAS PEREMPUAN YANG HAMIL DARIPADA ZINA ITU MELAHIRKAN
Sekiranya pasangan yang berzina itu bernikah selepas perempuan yang hamil dari perzinaan itu melahirkan pula, maka segala hukum yang berlaku dalam permasalahan ini sama kedudukannya dengan pasangan yang berzina lalu bernikah sebelum perempuan itu melahirkan, akan tetapi anak itu lahir sebelum enam bulan dari tarikh mereka bersatu dalam akad nikah yang sah sepertimana yang telah disebutkan sebelum ini.
Ini bermakna, anak tersebut tidak disabitkan nasabnya kepada lelaki yang menjadi suami ibunya dan tidak dibinkan atau dibintikan kepadanya. Lelaki itu juga haram dan tidak sah menjadi wali nikah bagi anak tersebut. Walau bagaimanapun, dia tetap menjadi mahram kepada anak tersebut kerana dia mengahwini dan jima‘ dengan ibunya.
Demikian penjelasan mengenai status hubungan lelaki dengan anak hasil perbuatan zinanya serta hukum-hakam yang berkaitan dengannya. Mudah-mudahan penjelasan ini dapat menjawab persoalan-persoalan yang seringkali timbul mengenai status hubungan seorang lelaki dengan anak yang terhasil daripada perbuatan zinanya.


