Wednesday, March 26, 2025
22.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hubungan silam terbongkar, Menteri Iceland letak jawatan

    LONDON, 24 MAC – Presiden Iceland kelmarin menerima peletakan jawatan menteri kanak-kanak negara itu selepas beliau mengakui pernah menjalin hubungan dengan seorang remaja lebih tiga dekad lalu.

    Asthildur Loa Thorsdottir melepaskan jawatan selepas penyiar nasional RUV mendedahkan bahawa beliau melahirkan seorang anak pada 35 tahun lalu, ketika beliau berusia 23 tahun dan bapa anak itu baru berusia 16 tahun. Menurut RUV, hubungan itu bermula selepas mereka bertemu di kumpulan belia gereja, ketika remaja itu 15 tahun.

    Walaupun umur sah untuk melakukan hubungan seksual di Iceland ialah 15 tahun, undang-undang negara itu melarang orang dewasa yang mengajar, menggaji, atau membimbing remaja daripada melakukan hubungan seksual dengan mereka.

    Dalam satu kenyataan, Thorsdottir mengesahkan hubungan tersebut tetapi menegaskan bahawa beliau bukan pemimpin kumpulan gereja itu, hanya seorang ahli biasa.

    “Hubungan antara individu pada usia tersebut bukan sesuatu yang luar biasa ketika itu, walaupun ia tidak dianggap ideal,” katanya.

    Beliau juga menyatakan bahawa hubungan mereka hanya berlangsung beberapa minggu, walaupun bapa anak itu hadir semasa kelahiran anak mereka.

    Menurut laporan RUV, bapa kanak-kanak tersebut cuba mendapatkan hak lawatan melalui kerajaan dan gereja tetapi hanya dibenarkan berjumpa anaknya sekali-sekala, walaupun telah membayar nafkah selama 18 tahun. Bagaimanapun, Thorsdottir mendakwa bahawa lelaki itu kurang berusaha untuk membina hubungan dengan anak mereka.

    Pada mesyuarat State Council kelmarin, yang turut melibatkan Perdana Menteri Kristrun Frostadottir dan Presiden Halla Tomasdottir, Thorsdottir secara rasmi menyerahkan jawatan menterinya.

    Walaupun berundur daripada kerajaan, beliau masih memegang jawatan sebagai Ahli Parlimen untuk Parti Rakyat, yang merupakan sebahagian daripada kerajaan gabungan pimpinan Parti Social Democratic Alliance. – AP

    Gambar fail bertarikh 28 Januari 2009 menunjukkan bangunan parlimen Iceland di Reykjavik. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda