PHNOM PENH, 28 April – Kemboja dikejutkan dengan fenomena cuaca luar biasa apabila hujan batu melanda beberapa kawasan di negara itu pada hujung minggu lalu.
Penduduk tempatan memenuhi media sosial pada 26 April lalu dengan berkongsi gambar dan video butiran ais kecil yang jatuh di atas bumbung rumah serta ke tangan mereka. Fenomena itu jarang berlaku memandangkan iklim tropika Kemboja, mencetuskan kekaguman ramai.
Antara detik paling mencuri perhatian ialah di Siem Reap, apabila seorang pengguna Facebook berjaya merakam video kejadian berkenaan berhampiran kompleks kuil terkenal dunia, Angkor Wat, sehingga menimbulkan persoalan berkaitan perubahan iklim di rantau itu.

Menurut pakar, walaupun hujan batu jarang berlaku di negara tropika, ia boleh muncul ketika peralihan musim kemarau ke musim hujan.
Pihak berkuasa mengesahkan tiada laporan kerosakan besar atau kecederaan dalam kejadian yang berlaku pada Sabtu itu.
Namun, fenomena tersebut telah mencetuskan perbincangan mengenai pola cuaca yang semakin tidak menentu di rantau berkenaan serta keperluan untuk mempertingkatkan keupayaan ramalan cuaca.
Kemboja pernah mengalami cuaca ekstrem sebelum ini, termasuk pada 2013 apabila ribut batu mengorbankan seorang, mencederakan lebih 10 orang dan merosakkan hampir 200 rumah di beberapa wilayah. – ANN/The Phnom Penh Post