ST. LOUIS, 14 MAC – Hujan batu sebesar bola lisut melanda beberapa kawasan Kansas dan Missouri semalam, menyebabkan lalu lintas terhenti di sepanjang Interstate 70, ketika ribut petir mungkin mencetuskan puting beliung dan ahli meteorologi menggesa penduduk untuk tinggal di dalam rumah.
Terdapat tiga laporan puting beliung yang belum disahkan di daerah Wabaunsee dan Shawnee dengan struktur bangunan yang rosak telah diterima, namun tiada laporan kecederaan atau kerosakan rumah, menurut ahli meteorologi, Matt Wolters dengan pejabat Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan Topeka. Pasukan tinjauan merancang untuk keluar hari ini bagi menilai kerosakan, katanya.
Terdapat laporan hujan batu sebesar 10 sentimeter, hampir sebesar saiz bola lisut, di bandar Wabaunsee dan 7.6 sentimeter di Geary County berhampiran Junction City dan Fort Riley, kata Wolters.
Gambaran mengenai hujan batu itu berkisar daripada saiz bola golf dan epal, kepada bola lisut dan besbol.
Alex Sosnowski, ahli meteorologi kanan di AccuWeather, sebelum ini berkata hujan batu yang diramalkan itu disifatkan sebagai ‘hujan batu gorila’ kerana potensi saiznya yang sangat besar.
Hujan batu gorila ialah istilah yang dicipta oleh Reed Timmer, seorang pemburu badai yang menganggap dirinya sebagai ahli meteorologi ekstrem, kata Sosnowski. Dalam kes ini, istilah itu mungkin sesuai, di mana sebahagian hujan batu dari utara-tengah Kansas ke utara-tengah Missouri boleh menjadi sebesar bola besbol.
“Apabila awda bangun dihujani bola tenis, saiz besbol atau pun bola lisut, ia boleh menyebabkan jumlah kerosakan yang besar dan jika awda terkena di kepala, ia boleh membawa maut,” kata Sosnowski. – AP
