NEW DELHI, 25 Julai – Kira-kira 16 orang telah terkorban minggu ini akibat hujan lebat yang membadai barat India, termasuk gurun negeri Rajasthan, dengan lebih 24,000 penduduk telah dipindahkan ke tanah tinggi, kata para pegawai hari ini.
Ratusan penyelamat menggunakan motobot telah menyelamatkan 789 orang termasuk beberapa wanita mengandung daripada dihanyutkan oleh air banjir di enam daerah di negeri Gujarat, kata Ranvijay Singh, kata pegawai kerajaan.
Penyelamat menemui enam mayat di kampung yang dibanjiri kelmarin dan hari ini, meningkatkan jumlah mangsa terkorban di Gujarat kepada 70 orang sejak permulaan musim monsun, yang berlangsung dari Jun hingga September.
Gunung Abu, sebuah stesen bukit popular di Rajasthan, menerima 80 sentimeter (32 inci) hujan kelmarin, melebihi rekod hujan turun pada tahun 1992 dalam tempoh 24 jam, menurut jabatan bantuan banjir kerajaan.
Kira-kira 10 orang terkorban dalam masa dua hari akibat lemas dan rumah runtuh di Rajasthan, di mana helikopter pasukan udara memindahkan 450 orang dari kawasan banjir di daerah Jalore, Pali dan Sirohi, kata jabatan bantuan banjir.
Kira-kira 60 orang meninggal dunia di timur laut negeri Assam akibat banjir sejak permulaan musim monsun pada Jun. – AP