YANGON, 19 JULAI – Cuaca buruk mencetuskan tanah runtuh dan banjir di selatan Myanmar, dengan bandar paling selatan, Kawthaung mengalami hujan sehari paling lebat dalam tempoh 76 tahun, kelmarin.
Menurut Jabatan Meteorologi dan Hidrologi Myanmar, Kawthaung, sebuah bandar yang terletak di wilayah Tanintharyi Myanmar, merekodkan 253mm hujan kelmarin, melepasi 232mm yang dicatatkan pada Julai 2021.
Hujan lebat dan angin kencang menyebabkan tanah runtuh dan pokok tumbang di bandar Kawthaung, Dawei, dan Myeik di wilayah Tanintharyi, kelmarin, Jabatan Perkhidmatan Bomba Myanmar melaporkan.
Seorang lelaki di bandar Myeik di wilayah Tanintharyi juga meninggal dunia selepas sebatang pokok tumbang menimpanya akibat cuaca yang teruk berkenaan, lapor media tempatan memetik organisasi penyelamat.
Selain itu, beberapa buah bandar di negeri Mon, yang berkongsi sempadan dengan wilayah Tanintharyi, mengalami banjir kelmarin, dan para pekerja penyelamat memindahkan orang ramai dengan bot dari jalan-jalan di bandar Mudon dan Thanbyuzayat.
Biro cuaca Myanmar mengeluarkan amaran mengenai peningkatan paras air di sungai tertentu yang mungkin kekal melebihi paras bahaya untuk dua hari akan datang, menggesa orang ramai yang tinggal berhampiran tebing sungai dan kawasan rendah mengambil langkah berjaga-jaga. – Xinhua


