Saturday, July 12, 2025
30.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hujan lebat cetus banjir, seorang maut

    KATHMANDU, 8 JULAI – Banjir yang dicetuskan oleh hujan lebat meruntuhkan lembah gunung Himalaya antara China dan Nepal hari ini, dengan seorang terbunuh dan 28 lagi hilang, kata pegawai dan media kerajaan.

    Dinding air itu turut menghanyutkan salah satu jambatan utama yang menghubungkan Nepal dan China di sungai Bhotekoshi.

    Banjir teruk dan tanah runtuh adalah perkara biasa di seluruh Asia Selatan semasa musim tengkujuh dari Jun hingga September tetapi pakar berkata perubahan iklim memburukkan lagi keadaan.

    Di Nepal, seorang telah disahkan meninggal dunia dan 17 yang lain – 11 warga Nepal dan enam warga China – disenaraikan sebagai hilang, menurut Pihak Berkuasa Pengurangan dan Pengurusan Risiko Bencana Kebangsaan Nepal.

    CCTV negara China melaporkan bencana banjir lumpur melanda kawasan sempadan sekitar pagi tadi, dengan 11 orang hilang di China. Ia berkata mereka adalah tambahan kepada enam pekerja pembinaan Cina yang dihanyutkan di Nepal.

    Banjir dan kemarau yang semakin teruk adalah petanda membimbangkan tentang apa yang bakal berlaku apabila perubahan iklim menjadikan kitaran air bumi semakin tidak dapat diramalkan, kata Pertubuhan Meteorologi Sedunia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu tahun lepas.

    Sementara itu, Pusat Antarabangsa bagi Pembangunan Gunung Bersepadu (ICIMOD) yang berpangkalan di Kathmandu memberi amaran Jun lalu bahawa para penduduk menghadapi risiko bencana yang lebih tinggi pada musim tengkujuh ini.

    “Suhu yang meningkat dan hujan lebat menambah lagi risiko bencana yang disebabkan oleh air seperti banjir, tanah runtuh dan aliran serpihan,” kata ICIMOD. – AFP

    Gambar menunjukkan banjir di Sungai Bhotekoshi 120 kilometer di utara Kathmandu, Nepal pada 8 Julai. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda